Hafizh Syahrin Abdullah berazam untuk menyerlah pada pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Buriram, Thailand pertengahan bulan ini.
Pelumba berusia 29 tahun itu yang juga dikenali dengan nama olokan El Pescao akan menunggang jentera Ducati Panigale V4 R untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team.
Dia telah berlatih dengan motosikal tersebut di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini sebagai persediaan untuk pelumbaan di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.
“Sejujurnya sepanjang karier dalam perlumbaan, saya belum pernah menunggang motosikal V4 R tetapi sistem elektronik yang terdapat di motosikal itu dan apa yang diberitahu oleh ketua mekanik, Loris Caroli kelebihan motosikal itu terletak kepada sistem brek.
“Saya memang dapat rasakan perbezaan terutama sistem brek yang lebih mantap berbanding motosikal lain yang pernah saya tunggang selain sistem suspensi yang baik apabila mengambil selekoh serta kemantapan dari aspek pecutan terutama di litar lurus.
“Boleh saya katakan motosikal V4R ini ‘mesra’ penunggang dan saya cepat menyesuaikan diri namun saya perlu lebih banyak latihan untuk mendalami lagi sistem elektronik bagi tunggangan lebih laju,” kata Hafizh.
Dia juga menyifatkan cabaran terbesar buatnya kelak ialah Markus Reiterberger yang merupakan juara bertahan kelas ASB1000 di dalam kejuaraan tersebut. Hafizh turut berkata bahawa dia tidak memandang rendah kebolehan pelumba-pelumba senegara Malaysia, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman.