Harley-Davidson kini sedang mencari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, memandangkan pemegang jawatan semasa Jochen Zeitz telah mengumumkan persaraannya pada akhir tahun 2025.
Zeitz telah menyertai lembaga pengarah syarikat motosikat pada akhir tahun 2000-an sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan CEO pada tahun 2020.
Dalam beberapa bulan pertama memegang jawatan, beliau melancarkan rancangan lima tahun bernama “Hardwire” untuk menstabilkan syarikat dan mengembalikan kegemilangannya. Sebahagian besar rancangan ini berfokus pada pengembangan ke pasaran global baharu. Selain itu, Zeitz mahu syarikat motosikal elektrik H-D, LiveWire, merapatkan jurang antara generasi penunggang motosikal.
Rancangan pertama berjaya dilaksanakan justeru memperkenalkan model H-D kecil dan murah yang dibangunkan bersama Hero MotoCorp. Malangnya, walaupun jualan model-model kecil tersebut agak memberangsangkan, LiveWire pula gagal memberikan pulangan yang besar.
Tambah lagi kini, dengan Donald Trump sekali lagi sebagai Presiden Amerika Syarikat, perang perdagangan yang dimulakannya bakal memberi kesan buruk kepada Harley-Davidson di Eropah, serta beberapa negara lain yang akan membalas tarifnya.
Menurut syarikat motosikal itu, “Lembaga Pengarah Harley-Davidson, Inc. hari ini mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses pencarian CEO baharu, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab perancangan penggantian Lembaga. Proses pencarian ini dimulakan pada suku keempat tahun 2024 dengan melantik firma pencarian eksekutif terkemuka setelah Jochen Zeitz, CEO semasa, menyatakan hasratnya untuk bersara dari syarikat pada tahun 2025 setelah lima tahun memegang jawatan CEO, tertakluk kepada pelantikan pengganti yang sesuai.”
Zeitz sebelum ini pernah berkhidmat di Puma dan dikenali sebagai eksekutif “pemulihan” yang berjaya membantu syarikat-syarikat yang bermasalah untuk kembali pulih.