Motosikal cruiser, ya, jentera yang direka khusus bagi tunggangan yang mengusik qalbu dan emosi. Dan tiada yang sesuai dengan status itu kecuali Harley-Davidson Road Glide yang memenangi kategori Cruiser Terbaik 2025 di dalam Anugerah Motosikal Terbaik Allianz-BikesRepublic.com 2025.
Mengapa Harley-Davidson Road Glide menang?
Kita akan mulakan dengan mengatakan bahawa ia bukanlah soal usia, kerana panel penilai kita terdiri daripada individu yang muda serta yang berusia. Ia juga bukan kerana sesorang itu ingin menjadi ‘gengster’ ala Sons of Anarchy. Tidak, ia mungkin lebih halus dan misteri.
Peraturan emisi masa kini semakin membatasi motosikal, dan menyebabkan kehilangan karakter. Daripada memberikan sesuatu yang dapat dirasai, motosikal mula terasa sangat mekanikal. Jiwa mereka telah dirampas dan semakin senyap. Ia seperti seseorang telah memasang program AI dalam otak anda dan ia mula mengambil alih. Ya, ya, terdapat banyak motosikal cruiser yang telah diperhalusi di pasaran, tetapi Harley “buat derk”.
Jangan salah faham, Road Glide yang baharu telah diperhalusi dengan banyak. Kualiti binaan dan pemasangan dapat dilihat dan dirasai. Sistem audio kini jauh lebih baik, suis lebih responsif dan tidak terasa murah, dan suspensi tidak lagi terasa seperti anda melanggar gunung apabila melepasi bonggolan jalan.
Nadi Road Glide disediakan oleh enjin Milwaukee Eight 117. Itu adalah 117 inci padu yang diterjemahkan kepada 1917cc untuk kita yang menggunakan sistem Metrik. Ia menghasilkan 115 HP dan 188 Nm. Ia berputar pada kurang daripada 1,500 RPM pada kelajuan 110 km/j. Sebagai perbandingan, sebuah motosikal sportsbike dengan enjin empat dapur 1000cc akan berputar hampir 5,000 RPM atau lebih pada kelajuan itu.
Getaran? Sudah tentu Harley bergetar. Tetapi, perbezaannya ialah enjin Road Glide berdenyut seperti jantung mekanikal yang besar, manakala getaran inline-four akan membuatkan tangan dan lengan anda kebas.
Dan tork, tork, banyak lagi tork! Enjin ini tidak mempunyai kuasa kuda spesifik yang tinggi, tetapi torknya sangat berguna dalam dunia sebenar. Buka throttle dan jantungnya berdegup lebih laju tetapi masih terasa malas pada masa yang sama, ketika anda memotong satu barisan kereta.
Dan itulah sebabnya Harley-Davidson Road Glide menang.
Harga jualan asas (model asas): RM 211,900
Apa yang kami suka: Karakter!
Apa yang kami tidak suka: Kami tidak akan faham falsafah Harley jika kita tidak dapat menerima kekurangnya.