Selepas beberapa tahun menyepi, Honda kembali menghidupkan nama Shadow bagi pasaran motosikal cruiser dengan memperkenalkan Honda Shadow Phantom 2024.
Honda Shadow Phantom itu akhirnya dinaik taraf dengan fungsi ABS bagi tahun 2024, ciri yang wajib ada pada motosikal masa kini. Namun begitu, Honda masih lagi menawarkan model tanpa ABS bagi mereka yang “ol’skool”.
Dalam pada itu, model Shadow Phantom ini juga dilengkapi dengan cakera brek dibelakang menggantikan brek drum yang ada pada generasi sebelum ini.
Dari segi estetik, rupa keseluruhan Honda Shadow generasi terbaru ini nampak lebih segar dengan gabungan warna dan grafik baharu, pelindung lampu depan baharu dan penggunaan lampu isyarat LED depan dan belakang.
Fender depan dan belakang juga telah direka semula dan kini lebih pendek. Namun, Honda telah mengetepikan tempat duduk pembonceng bagi edisi kali ini dan hanya memuatkan tempat duduk tunggal. Menurut Honda, tempat duduk baru itu lebih selesa dan lebih rendah pada 650mm.
Model 2024 ini juga 2.7kg lebih ringan berbanding generasi terdahulu dengan 250kg bagi versi ABS dan 246kg bagi versi tanpa ABS.
Walaupun terdapat pelbagai naik taraf, Honda Shadow Phantom 2024 ini masih lagi dilengkapi tangki 14L di samping terus dikuasakan enjin V-Twin 745cc dengan transmisi 5-kelajuan yang menawarkan 44.6hp dan 65Nm.