Honda RS-X Winner (2025) dilancarkan di Malaysia (akhirnya).
Daripada siaran media:
Boon Siew Honda Sdn Bhd, selaku pengeluar dan pengedar motosikal Honda di Malaysia, telah melancarkan Honda RS-X Winner serba baharu yang dilengkapi ciri-ciri terkini yang direka untuk meningkatkan pengalaman tunggangan.
Sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar dan tunggangan santai hujung minggu, motosikal versatil Honda RS-X Winner Serba Baharu menawarkan kombinasi gaya menarik sporty, kemajuan teknologi terkini, ciri-ciri mesra penunggang, prestasi luar biasa dan paling penting, kebolehpercayaan dan kualiti lagenda Honda.
Honda RS-X Winner Serba Baharu, yang menerima penarafan 5-bintang Program MyMAP yang mengesahkan motosikal ini menepati standard ketat pengeluaran antarabangsa, keselamatan, inovasi teknologi dan khidmat sokongan pelanggan, kini dinaiktaraf dengan tujuh peningkatan penting yang bertujuan menambah baik pengalaman tunggangan:
- ENJIN 150 CC BAHARU
Enjin 150 cc DOHC baharu dengan penyejukan cecair dan gear 6 kelajuan yang direka untuk penghasilan kuasa cemerlang (output kuasa maksimum dan tork masing-masing 11.8 kW dan 13.6 Nm) dan pecutan merentas julat RPM enjin. Sebagai motosikal diiktiraf EEV, ia menawarkan pembakaran bahan api efisien dengan penggunaan 50km/liter.
- KLAC ASSIST AND SLIPPER
Satu ciri pintar baharu yang mencegah kejadian gelinciran roda belakang dan membantu para penunggang mengemudi dengan lebih baik melalui mekanisme klac lebih ringan. Antara kelebihannya termasuk:
-
- Kawalan lebih baik: Klac slipper membantu penunggang mengekalkan kawalan dan kestabilan, terutama bila lambat membrek atau berlaku penurunan gear secara agresif.
- Penukaran gear lebih lancar: Klac slipper membenarkan kawalan gelinciran plet klac semasa penurunan gear secara mendadak.
- Mengurangkan haus dan lusuh: Klac slipper boleh mengurangkan kehausan dan lusuh komponen motosikal, dengan itu, mengurangkan kos penyelenggaraan.
- SISTEM KUNCI PINTAR HONDA
Sistem elektronik pintar termaju ini membolehkan para penunggang menghidupkan enjin dan mengunci bar hendal. Ia juga disatukan dengan Sistem Penggera Anti-Kecurian dan Sistem Panggilan Balik untuk menambahbaik ciri keselamatan. Tidak perlu keluarkan Kunci Pintar Honda dari poket. Hanya pusingkan tombol pencucuhan, tekan butang pemula dan terus menunggang.
- PORT PENGECAS USB
Port pengecas USB bersifat versatil dan dilengkapi penutup kalis air yang membolehkan para penunggang mengecas telefon mudah alih dan peranti semasa dalam perjalanan serta memastikan mereka tidak kehabisan bateri meskipun tunggangan jarak jauh.
- GAYA SPORT AGRESIF
Salah satu tarikan Honda RS-X adalah reka bentuk maskular dan agresif. Honda RS-X Winner Serba Baharu pula memiliki rekaan maskulin yang lebih menonjol dengan garis badan bersambung dari depan hingga ke belakang yang menyumbang kepada imej lincah dan aerodinamik.
- REKA BENTUK SUIS HENDAL BERASINGAN
Untuk menambah baik aspek keselamatan para penunggang, Honda RS-X Winner serba baharu memaparkan ciri suis hendal berasingan. Ini memberikan kawalan tepat dan intuitif pelbagai fungsi motosikal, termasuk lampu depan, signal belok dan hon, membolehkan para penunggang terus fokus ke hadapan di jalan raya.
- REKA BENTUK RIM TETUANG GAYA SPORT
Rim 17 inci memiliki rekaan baharu, lebih sporty dan lebih dinamik yang melengkapkan reka bentuk maskulin Honda RS-X Winner Serba Baharu. Rim adalah jenis ringan tetapi kukuh untuk kestabilan yang lebih baik dan mudah diramal semasa tunggangan berkelajuan tinggi.
Harga runcit yang disyorkan untuk Honda RS-X Winner Serba Baharu ialah RM9,998.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) untuk tiga warna standard — Biru, Hijau dan Kelabu Matte. Ia juga boleh didapati dengan warna Kuning Khas berharga RM10,298.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Motosikal ini didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dulu.
Mitsuharu Funase, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, meluahkan rasa yakin beliau terhadap kemampuan Honda RS-X Winner Serba Baharu meningkatkan lagi label nama RS-X serta memperkasakan reputasi jenama Honda.
“Sejak pengenalannya pada 2021, RS-X terbukti cukup popular dengan enjin berkuasa tetapi efisien bahan api dan rekaan bergaya, terutamanya lampu hadapan LED yang menyerlah. Ini membantu menjadikannya pilihan digemari pengguna Malaysia apabila memilih sebuah kapcai Honda.
Untuk Honda RS-X Winner serba baharu, kami telahpun menaiktarafkannya secara menyeluruh dengan penambahbaikan komprehensif untuk memenuhi keperluan para penunggang Malaysia dari semua lapisan umur untuk tahun-tahun akan datang.
Di Boon Siew Honda, misi kami adalah untuk terus menawarkan kualiti cemerlang secara berterusan, dipercayai dan menjadi solusi mobiliti mampu milik kepada rakyat Malaysia sejak enam dekad lalu. Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan bersama mereka menerusi pelbagai peringkat kehidupan mereka. Saya percaya bahawa di kebanyakan kediaman rakyat Malaysia, masih ada sebuah motosikal Honda yang terus berkhidmat dengan cemerlang. Saya berharap Honda RS-X Winner Serba Baharu akan mengambil tempat bersama model-model motosikal lagenda Honda sebelum ini yang disukai dan diraikan rakyat Malaysia sepanjang tahun-tahun akan datang,” kata beliau.
Untuk maklumat lanjut tentang Honda RS-X Winner Serba Baharu, sila lawat www.boonsiewhonda.com.my.
SPESIFIKASI HONDA RS-X WINNER (2025)
ENJIN | |
Jenis | Silinder Tunggal, Penyejuk Cecair, DOHC 4 Lejang 4 Injap |
Sesaran Enjin | 149.2 cm³ |
Kebuk x Lejang | 57.3 mm x 57.8 mm |
Nisbah Mampatan | 11.3:1 |
Kuasa Maksimum | 15.8hp (11.8kW) / 9000rpm |
Tork Maksimum | 13.6 Nm / 7000 rpm |
Kapasiti Minyak Enjin | 1.1 ℓ (Sebelum Pembuangan), 1.3 ℓ (Selepas Pembuangan) |
SISTEM BAHAN API | |
Jenis | PGM-FI (Suntikan Bahan Api Terprogram) |
Kapasiti Tangki Bahan Api | 4.5 ℓ |
SISTEM ELEKTRIK | |
Sistem Penghidup | Penghidup Elektrik |
Kapasiti Bateri | 5.0 A.h (10 HR) |
Keluaran ACG | 12 V |
TRANSMISI KUASA | |
Jenis Klac | Klac Basah Multiplat Manual dengan Klac ‘Assist & Slipper’ |
Jenis Transmisi | Constant Mesh, 6 Kelajuan |
CHASSIS | |
Jenis Kerangka | Twin Tube |
Dimensi (P x L x T) | 2019 mm x 730 mm x 1109 mm |
Jarak Roda | 1278 mm |
Ketinggian Tempat Duduk | 795 mm |
Jarak dengan Permukaan Tanah | 148 mm |
Berat Curb | 123 kg |
SUSPENSI, RODA & BREK | |
Jenis Suspensi | Hadapan — Teleskopik |
Belakang — Lengan Buai dengan ‘Monoshock’ | |
Tayar | Hadapan — 90/80 -17M/C (46P) (Tanpa Tiub) |
Belakang — 120/70 – 17M/C (58P) (Tanpa Tiub) | |
Brek | Hadapan — Cakera Tunggal Hidraulik, ABS |
Belakang — Cakera Tunggal Hidraulik |