Bikesrepublic

Ini 5 Sebab Kenapa Yamaha TMax Tech Max Bernilai RM74,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah pun merasmikan pelancaran Yamaha TMax Tech Max 560 2022 pada Khamis.

Pelancaran tersebut menyaksikan kumpulan pertama Yamaha TMax Tech Max sebanyak 35 unit telah pun habis dijual dengan kumpulan kedua babitkan 40 unit lagi juga telah disambar pembeli.

Bagaimanapun, semasa berita pelancaran tersebut dimuat naik, rata-rata terbeliak anak mata ekoran harga rasmi yang diumumkan. 

Ini kerana – meskipun model CKD – namun model 2022 itu lebih tinggi harganya berbanding model CBU yang diperkenalkan tahun lalu. 

Bagi menjawab persoalan, kami kongsikan lima sebab kenapa Yamaha TMax Tech Max 2022 ini dijual pada harga RM74,998. 

1. Skrin TFT 7-inci

Berbanding model 2021 yang masih lagi dilengkapi skrin gabungan digital dan analog, model 2022 ini pula dilengkapi skrin TFT yang lebih besar daripada saiz Apple iPhone 14 Pro Max. 

Bukan itu sahaja, skrin ini boleh dihubungkan dengan telefon pintar dan menawarkan fungsi navigasi Garmin yang boleh dilanggan dengan harga RM27 bagi bulan pertama. 

Sistem navigasi Garmin tersebut memudahkan penunggang untuk bergerak ke mana sahaja tanpa perlu lagi memasang telefon pintar di bahagian handlebar yang kadang kala menyusahkan.

2. Ciri premium

Disebabkan pasaran Malaysia mendapat varian Tech Max – varian tertinggi – model ini dilengkapi dengan pelbagai ciri premium yang merangkumi tempat duduk dan grip dengan fungsi pemanas, penghadang angin boleh laras secara elektrikal, fungsi cruise control dan suspensi belakang boleh laras. 

Tak lupa juga, Yamaha TMax Tech Max ini datang dengan tayar Bridgestone SC2 secara standard. 

Fungsi lain turut disertakan adalah traction control, mod menunggang, fungsi keyless dan tempat duduk dan tempat sisi minyak yang boleh dibuka dengan alat kawalan. 

3. Ergonomik dinaik taraf

Antara peningkatan terbesar dilaksanakan pada Yamaha TMax 2022 ini adalah aspek ergonomik. 

Model ini menawarkan tahap keselesaaan yang cukup tinggi bukan sahaja bagi penunggang malah pillion. 

Di bahagian tempat duduk penunggang disertakan dengan penyandar belakang secara standard yang juga boleh diubah mengikut keselesaan. 

Handelbar juga lebih rendah berbanding model 2021 agar lebih selesa dan tidak meletihkan. 

4. Enjin berkuasa

Yamaha TMax Tech Max 560 ini didatangkan dengan enjin parallel-twin 562cc DOHC yang berupaya menghasilkan 47.6hp pada 7,500rpm dan 55.7Nm pada 5,250rpm. 

Meskipun enjin yang sama dibawa daripada model 2021 namun enjin tersebut sudah terbukti kemampuannya.

5. Raja Skuter Maxi

Ketika pengeluar lain baru cuba menjinakkan diri dalam penghasilan skuter maxi, Yamaha telah pun menghasilkan model TMax sejak tahun 2000 lagi menerusi XP500 Tmax. 

Ketika diperkenalkan pada waktu itu, enjin 500cc pada TMax merupakan enjin paling besar dan paling berkuasa pernah ditawarkan pada sebuah skuter. 

Ini bermakna Yamaha mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan sebuah skuter maxi yang bukan sahaja berkuasa malah berkualiti.

Selain itu, Yamaha TMax Tech Max 560 ini juga tiada tandingannya. 

Walaupun ketika ini terdapat banyak pencabar antaranya SYM TL500 dan Kymco AK550 namun takhta raja skuter maxi kekal milik TMax. 

Rumusan

Mengambil kira faktor di atas maka tidak hairanlah mengapa Yamaha TMax Tech Max 560 ini mencecah harga lebih RM70,000. 

Ini kerana Yamaha TMax bukan sekadar skuter biasa tetapi jentera yang berteknologi tinggi dan premium dalam kelasnya. 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube