Jorge Martin ialah Juara MotoGP 2024, selepas menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan terakhir musim ini, Grand Prix Solidariti Barcelona. Saingan gelaran terdekatnya Francesco Bagnaia memenangi perlumbaan itu.
Pelumba Sepanyol itu menjadi juara dunia pasukan bebas pertama dalam era MotoGP bersama Pramac Ducati. Dia telah menunujukkan corak tunggangan yang lebih matang dan konsisten tahun ini dan memenangi 7 perlumbaan Sprint dan 3 perlumbaan utama, manakala tersingkir 2 kali daripada perlumbaan Sprint dan dua kali di dalam perlumbaan utama. Sebagai perbandingan, Bagnaia telah memenangi 5 perlumbaan Sprint dan 11 perlumbaan utama, tetapi tersingkir 4 kali ketika perlumbaan Sprint dan 3 kali ketika perlumbaan utama.
Martin hadir pada perlumbaan utama yang terakhir dengan kelebihan 19 mata selepas Bagnaia memenangi perlumbaan Sprint pada hari Sabtu, manakala Martin menduduki tempat ketiga. Kelebihan itu bermakna Martin memerlukan hanaya sekurang-kurangnya 7 mata daripada tempat ke-9 untuk memastikan kejuaraan miliknya.
Ia adalah kejuaraan dunia pertama Martin di peringkat kelas perdana dan berlumba untuk kali terakhirnya untuk kedua-dua Ducati dan Pramac. Martin akan menyertai pasukan pengilang Aprilia, manakala Pramac akan menjadi pasukan satelit Yamaha menjelang 2025.
Bagnaia telah mendahului Martin ke selekoh pertama pada permulaan perlumbaan, tetapi Martin dipintas oleh pelumba Gresini Ducati Marc Marquez setibanya di selekoh pertama pada Lap ke-2. Marquez kemudiannya menunggang dekat kepada Bagnaia tetapi tidak pernah mengasak untuk mendahului perlumbaan. Marquez dan Bagnaia akan menjadi rakan sepasukan dalam pasukan pengilang Ducati pada tahun depan.
Di belakang Martin, rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini kelihatan mengancam tetapi dipintas oleh pelumba pasukan pengilang Aprilia, Aleix Espargaro (pada perlumbaan MotoGP terakhir baginya). Namun Bastianini melakukan kesilapan kemudian dan menjatuhkannya ke tangga yang lebih bawah, dan ini memberikan ruang kepada Martin untuk berlumba tanpa diganggu, serta untuk Espargaro melindungi Martin ketika berasak dengan pelumba lain yang cuba memintasnya.
Jadi, kelompok tiga teratas mengekalkan kedudukan dan Martin menyesuaikan diri dengan rentaknya sehingga ke akhir perlumbaan justeru memenangi kejuaraan pelumba dengan kelebihan 10 mata ke atas Bagnaia.
Marquez yang menghabiskan perlumbaan di tempat kedua mengunci tempat ketiga keseluruhan dalam kejuaraan pada musim pertamanya dengan Ducati. Espargaro pula diasak dengan agresif oleh pelumba Gresini yang lain, Alex Marquez pada peringkat penutup dan terpaksa akur dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Dengan Bastianini mendapat tempat keempat keseluruhannya dalam kejuaraan, pertarungan untuk tempat kelima keseluruhan beralih kepada rookie Pedro Acosta daripada pasukan GasGas dan pelumba pengilang KTM, Brad Binder. Binder menduduki tempat keenam selepas bermula dari tempat ke-18, manakala Acosta merosot dari tempat ke-5 kepada tempat ke-10 dalam perlumbaan akibat tayar belakang yang haus. Acosta akan menjadi rakan sepasukan KTM dengan Binder pada musim depan.