JPJ memberi amaran jangan hiasi kenderaan masing-masing dengan lampu hiasan, apatah lagi ketika musim perayaan.
Kita sebagai rakyat Malaysia ini secara amnya memang amat kreatif dan semangat ini dibawa sehingga menghiasi atau custom-kan kenderaan kita, tidak kira kereta, motosikal, lori, beca, basikal dan sebagainya. Namun, pihak berkuasa tidak hargai kreativiti kerana mereka mempunyai tugas untuk memastikan bahawa setiap kenderaan kita selamat bukan bagi kita sahaja, tetapi juga buat semua pengguna jalanraya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Syahmi Abdul Latif menjelaskan perbuatan menghias kenderaan dengan lampu hiasan itu sebenarnya adalah perbuatan yang salah. “Walaupun niatnya hanya untuk menyambut Ramadan, pemilik kenderaan boleh diberi amaran supaya menanggalkan lampu hiasan berkenaan dan mengembalikan ia kepada asal atau dikenakan denda.”
“Apa pun, keputusan terletak pada pegawai yang bertanggungjawab. Bagi kesalahan jenis ini, denda biasanya dikenakan antara RM100 dan RM200,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sebuah video yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok oleh seorang pengguna yang bergelar @kaksuemeow, yang menunjukkan keretanya yang dihiasi penuh dengan lampu hiasan.
@kaksuemeow mendakwa dia pernah terjumpa dengan polis beberapa kali ketika memandu di Bukit Bintang tetapi tidak didenda.
“Sebaliknya, polis berkenaan hanya menunjukkan tanda bagus. Saya sudah menanggalkan lampu hiasan dari kereta tetapi masih ada kemungkinan saya akan menghiasnya semula. Saya mengambil masa kira-kira enam jam untuk memasang semua lampu dan membalutnya di sekeliling kereta saya,” tambahnya.