Kaliper brek Brembo Hypure baharu bakal diperkenalkan pada penghujung tahun ini.
Apa lagi yang boleh dikatakan tentang jenama Brembo? Malah mereka yang bukan peminat motosikal juga mengenali jenama itu, sehinggakan ada yang merujuk kepada mana-mana kaliper brek sebagai “Brembo.” Jadi, kita teruskan dengan pengenalan produk ini sahajalah.
Brembo Hypure direka khusus untuk motosikal-motosikal supersport atasan. Sebaliknya kaliper Stylema yang lebih awal telah digunakan pada semua jenis motosikal daripada yang supersport hinggalah kepada jenis dwi-guna (dual-sport). Oleh itu, apa yang Hypure berikan ialah gabungan kuasa brek, rasa yang lebih baik pada tuil ,dan keringanan.
Ciri-ciri Brembo Hypure:
- 10% lebih ringan daripada pesaing. Penjimatan berat dalam bidang ini bermakna motosikal anda mempunyai jisim yang yang lebih rendah, oleh itu mengurangkan inersia, justeru menghasilkan pengendalian yang lebih baik.
- Brembo berkata ini dicapai melalui pengalaman mereka dan alatan reka bentuk baharu untuk mengedarkan aluminium di tempat yang betul.
- Hasilnya, kekuatan yang kekal sama walaupun beratnya lebih rendah, dan penyejukan yang lebih baik.
- Mengurangkan penggunaan pad melalui sistem spring, pad dan pin baharu, selain permukaan galas yang direka khas antara kaliper dan pad.
- Syarikat itu mengatakan bahawa dengan sistem ini, pad bergerak tanpa rintangan ke arah cakera pada permulaan membrek. Apabila tuil dilepaskan, pad bergerak dengan cepat dari cakera untuk mengurangkan geseran.
Brembo Hypure mula diacah di EICMA tahun lepas dan akan dipasang sebagai peralatan asli kepada motosikal supersport yang akan datang. Spekulasinya adalah sama ada pada KTM 990 RC R atau Yamaha YZF-R9, atau kedua-duanya.
Apapun, nasihat kami ialah gunakanlah pengunci khas untuk kaliper brek motosikal anda.