Kaliper brek Brembo GP4-MotoGP baharu telah memenangi Anugerah Red Dot untuk Rekabentuk.
Kaliper brek hadapan ini baru sahaja dilancarkan pada November 2023. Ia hampir menyerupai kaliper yang digunakan dalam MotoGP dan WSBK, tetapi ia sebenarnya bertujuan untuk kegunaan penunggang jalan raya yang mahukan prestasi membrek yang terbaik.
Jadi, apa yang berbeza tentang caliper ini?
Mari kita mulakan dengan penyangga pad yang serong yang turut menambahkan kekuatan kaliper lagi, walaupun ia sudah dimesin daripada ketulan pepejal aloi aluminium (oleh itu, monobloc). Langkah ini turut menambahkan kuasa membrek kerana badan kaliper tidak melentur. Tambahan lagi, ia memberikan penunggang rasa yang lebih baik pada tuil, terutamanya apabila anda membrek ke dalam selekoh (trail braking).
Brembo juga menyadur empat piston kaliper itu dengan nikel untuk membolehkan pergerakan yang lebih baik. Piston-piston ini direkabentuk untuk menarik pad brek dari muka cakera brek untuk mengurangkan geseran apabila tiada tekanan brek. Oleh itu, pad tahan lebih lama dan kehilangan kuasa enjin dapat dikurangkan.
Sirip yang anda lihat di hadapan kaliper yang menghadap ke bahagian dalam, berfungsi sebagai sirip penyejuk, sama seperti pada enjin motosikal yang disejukkan udara. Ini adalah ciri yang membezakan “versi awam” Brembo GP4-MotoGP berbanding dengan saudaranya di dalam MotoGP dan WSBK, kerana versi perlumbaan mempunyai sirip di bahagian belakang kaliper juga.
Adakah kita benar-benar memerlukan ini untuk jalan raya atau trackday yang ganjil? Siapa peduli! Kami MAHU!