Bikesrepublic

Kawasaki Ninja ZX-10R Dan ZX-10RR 2021 Mendarat – Dengan Skrin TFT, Cruise Control!

Kawasaki akhirnya melancarkan ZX-10R dan ZX-10RR secara rasmi dengan pelbagai kemas kini dan pembaharuan bagi tahun 2021.

Paling mencuri tumpuan adalah rekaan depan yang nyata berbeza dengan model sebelumnya.

Model sebelum ini tampak lebih kemas dan kompak namun bagi 2021, Kawasaki melaksanakan rombakan besar-besaran dengan menghadirkan rekaan luar biasa.

Meskipun ada yang akan mempersoal rekaan baharu ini tapi hakikatnya fokus utama pembangunan ZX-10R dan ZX-10RR ini adalah memastikan kejuaraan dunia di WSBK kekal jadi milik Kawasaki Racing Team (KRT) musim depan.

Sebelum ini, ramai yang menyangka Kawasaki akan mengikut langkah pengeluar lain antaranya Ducati dengan memperkenalkan ciri winglet.

Bagaimanapun, jurutera Kawasaki enggan ‘meniru’ lawannya di WSBK itu sebaliknya melaksanakan rekaan luar biasa di bahagian depan yang menempatkan lampu LED serta corong udara.

Pada masa sama, fairing jentera baharu ini turut menghasilkan 17 peratus lebih ‘downforce’ berbanding model sedia ada.

Kawasaki turut meninggikan penghadang angin sehingga 40mm dan tempat letak kaki (foot peg) 5mm lebih tinggi.

Menariknya, ‘handlebar’ pada model 2021 ini turut mengikut acuan sama seperti yang terdapat pada mesin lumba milik Jonathan Rea!

Kawasaki turut menunaikan permintaan ‘fanboy’ Ninja dengan memperkenalkan paparan TFT dengan keterhubungan Bluetooth, butang mod tunggangan mudah akses serta ‘electronic cruise control’.

Bahagian chasis turut dikemas kini dengan bahagian pivot point swingarm kini 1mm lebih rendah dan 8mm lebih panjang sekaligus meningkatkan kestabilan dan cengkaman tayar.

Enjin 998cc 4-inline juga kini berstatus Euro 5 dengan pelepasan emisi yang lebih rendah sekaligus menyaksikan pembakaran enjin lebih efisien di samping menawarkan kuasa sekitar 200hp pada 13,200rpm (300rpm lebih awal berbanding model 2019).

Pada masa sama, Kawasaki masih mengekalkan sistem injap jenis ‘finger-follower valve actuation’ dari model 2019 yang menawarkan peningkatan kuasa di samping mengurangkan berat ‘valvetrain’.

Ninja ZX-10R ini turut dilengkapi dengan sproket belakang 41t berbanding 39t manakala nisbah gear 1, 2 dan 3 juga lebih pendek bagi memperbaiki tahap pecutan.

Sementara itu, Ninja ZX-10RR 2021 (edisi homologation) dengan terhad kepada 500 unit sahaja seluruh dunia turut menerima kemas kini ketara antaranya had RPM kini berada pada 14,700 berbanding 14,200 sebelum ini.

Peningkatan RPM itu hasil sumbangan penggunaan ‘camshaft’ dan’valve spring’ baharu, piston Pankl (20g lebih ringan) dan piston pin bersalut DLC (diamond like carbon).

Kawasaki Ninja ZX-10R didatangkan dengan pilihan warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Carbon Gray dan KRT Edition (Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White manakala ZX-10RR hanya ditawarkan dengan warna ikonik Lime Green.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan