Kawasaki sahkan mereka sedang membina enjin dua lejang dengan turbo. Berita baik itu diumumkan di platform Instagram Kawasaki AS.
Video pendek itu menunjukkan banyak komen oleh pengguna media sosial yang meminta Kawasaki membawa kembali enjin dua lejang, ditambah pula dengan komen bahawa dua lejang adalah yang terbaik, dan lain-lain. Video itu tamat dengan mesej “WE HEAR YOU (KAMI MENDENGAR ANDA) dengan bunyi enjin dua lejang di latar belakang.
Sudah tentu, tidak banyak lagi yang boleh diteruskan daripada video acah ini. Walaubagaimanapun, terdapat laporan bahawa dokumen paten yang difailkan oleh pengeluar pada Julai 2024 menunjukkan sebuah enjin revolusioner. Ia mempunyai suntikan bahan api yang bukan sesuatu teknologi baru tetapi: Injap masuk dikendalikan aci sesondol dan ia mempunyai pengecas turbo. Enjin dua lejang dengan turbo. Ini sudah cukup untuk membuatkan kita meleleh air liur!
Suntikan bahan api, ditambah dengan injap kendalian aci sesondol menjanjikan kecekapan dan yang paling penting, pelepasan yang lebih bersih, kerana motosikal dua lejang diharamkan di banyak negara kerana mencemarkan. Enjin dua lejang tradisional tidak mempunyai injap mekanikal dan ini menyebabkan bahan api serta minyak 2T yang keluar dari port ekzos. Enjin Kawasaki mungkin mengubahnya. Pengecas turbo menambah lebih banyak udara ke dalam campuran supaya enjin terbakar lebih cekap sekali gus menjimatkan bahan api. Yang menarik sekarang ialah mengetahui apakah kaedah pelincirannya.
Namun masih tiada maklumat mengenai jenis motosikal yang akan digunakan untuk enjin tersebut. Ia boleh jadi untuk motosikal MX kerana ada negara membenarkan penggunaan motosikal dua-lejang di litar tertutup dan/atau tanah persendirian, tetapi tidak di atas jalan raya. Atau ia digunakan untuk hibrid hidrogen yang telah banyak dilaburkan oleh Kawasaki. Tetapi, Kawasaki sudah mempunyai basikal MX dua lejang KX250.