- Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) dengan secara rasminya telah mempratontonkan model Kawasaki Z900RS Cafe 2018 di tanah air kita.
- Acara pratonton ini telah diadakan di The Gasket Alley PJ bersempena dengan acara Distinguished Gentleman’s Ride Kuala Lumpur 2018.
- KMSB telah menetapkan harga bagi motosikal Kawasaki Z900RS Cafe 2018 pada RM72,372 (harga saranan dengan 10% SST).
Bersempena dengan acara “Distinguished Gentleman’s Ride Kuala Lumpur 2018”, Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah mengambil peluang ini bagi mempratontonkan tawaran terbaharu mereka buat penggemar jentera moden klasik, iaitu Kawasaki Z900RS Cafe 2018. Acara pratonton tersebut telah diadakan di Tiga Supply Co. yang berada di tengah-tengah The Gasket Alley, Petaling Jaya.
Model Z900RS Cafe ini telah membuat kemunculan sulungnya pada tahun lalu sewaktu acara EICMA di Milan, yang mana ianya mengambil ilham dari model Kawasaki Z1 yang telah dihasilkan pada tahun 1970-an dan dibawa ke masa hadapan dalam bentuk sebuah motosikal café racer retro yang cukup berkuasa. Apa yang telah dilakukan oleh Kawasaki adalah mereka telah mengambil model Kawasaki Z900RS 2018 dan menggabungkannya dengan secubit atitud dan juga gaya.
Dijana oleh enjin empat selari, sejukan cecair, 948cc, Z900RS Cafe ini mampu menghasilkan sekitar 110hp pada 8,500rpm dan 98.5Nm tork maksimum apabila mencecah 6,500rpm. Segala ciri-ciri yang menakjubkan yang ada pada motosikal Z900RS standard turut boleh didapati pada versi Cafe ini, selain daripada kelengkapan tambahannya.
Ciri paling menonjol sekali pada motosikal Kawasaki Z900RS Cafe 2018 ini adalah reraup ‘bikini cowling’nya yang tampak teralir lancar ke arah pelana dan bahagian belakangnya. Sewaktu pengenalannya pada tahun lalu, Kawasaki juga telah mengatakan bahawa ekzos empat-ke-satunya itu telah ditala halus untuk menghasilkan nota bunyi yang lebih meruntun, yang mana cocok sekali dengan rupa bentuk dan aura seksi motosikal ini.
Menurut Pengarah Kawasaki Motors Europe, Morihiro Ikoma, “Motosikal Z900RS Cafe meluaskan lagi daya tarikan rangkaian RS baharu dan menjadi lambang bagi cogan kata “True Spirit” model tersebut. Kawasaki telah mengambil masanya dalam menceburi arena moden klasik namun penantian ini nyata cukup berbaloi. Model Z900RS CAFE dan Z900RS memiliki warisan yang unik dan satu ketulenan yang membezakan mereka sebagai model asli.”
Bagi menjadikan pakej ini lebih menggiurkan, Kawasaki juga akan melengkapkan model Cafe ini dengan kelengkapan penunggangan elektronik paling canggih, antaranya sistem kawalan cengkaman KTRC, klac Bantu-dan-Gelincir, fork hadapan terbalik 41mm, lampu LED keseluruhan, penyerap hentakan belakang boleh laras (pramuatan dan lantunan), dan bermacam-macam lagi.
Kami telah dimaklumkan yang motosikal ini akan dilancarkan secara rasmi dalam minggu ini dan ketersediaan untuk jualan di Malaysia akan menyusul selepas itu. Berkenaan harganya pulan KMSB telah menetapkan pada harga RM72,372 (harga jualan yang disyorkan, termasuk 10% SST, tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai model Kawasaki Z900RS Cafe 2018, sila layari laman sesawang www.kawasaki.com.my.
https://www.bikesrepublic.com/2018/04/10/tunggang-uji-kawasaki-z900rs-2018/