Baru-baru ini tular laporan yang mendakwa berlakunya operasi tunda kenderaan tanpa notis dan disaman RM100 berlaku di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengarahkan penganjur MAHA 2022 untuk hentikan semua operasi tunda kereta di lokasi tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Ini berikutan berlakunya insiden tunda kereta yang menimpa pengunjung yang hadir ke tapak berkenaan. Difahamkan, senario tersebut turut menimpa seorang pengamal media yang hadir ke acara tersebut.
Untuk itu, MAFI menjelaskan pengamal media hanya perlu menunjukkan pas media kepada petugas atau pengawal pintu masuk MAEPS untuk ke parkir khas di belakang Dewan A.
“Bagi kenderaan awam pula perlu diletakkan di tempat yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan,” jelasnya.
Pada masa sama, MAFI menjelaskan kehadiran trak tunda adalah bagi memastikan kelancaran acara bagi mengelakkan kesesakan.
Bagaimanapun, rata-rata netizen mempersoal tindakan menunda kereta orang awam disekitar MAEPS. Ini kerana selain daripada perlu membayar RM5 satu kereta, lokasi letak kenderaan juga tidak jelas lalu berlakunya insiden tunda kereta.
Pengunjung juga terpaksa membayar RM100 bagi mendapatkan kenderaan mereka semula sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati pengunjung yang hadir.