Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), hari ini melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, bersama barisan tetamu kehormat.
Kempen yang bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” pada tahun 2025 ini dianjurkan buat kali ke-2 oleh Suzuki Malaysia dan kali ke-8 oleh AFY Mobility Industries (AMI). Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan, dan masyarakat umum.
Dalam ucapannya, YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah menekankan statistik kemalangan jalan raya yang membimbangkan: “Berdasarkan statistik terkini daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 5,939 kematian direkodkan daripada 585,729 kes kemalangan yang dilaporkan sehingga November 2024. Daripada jumlah tersebut, 67% atau 4,014 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoritinya terdiri daripada golongan belia berusia 16 hingga 35 tahun. Golongan ini kini menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian akibat kemalangan jalan raya.”
Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi turut menegaskan kepentingan memiliki lesen memandu yang sah bagi penunggang motosikal: “Saya ingin menarik perhatian semua pihak tentang keperluan kritikal untuk memiliki lesen memandu yang sah sebelum dibenarkan menunggang motosikal di atas jalan raya. Langkah asas ini adalah penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.”
Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan melalui agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam usaha menangani cabaran ini dan meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna.
Aktiviti Dan Program Kempen
Kempen ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, termasuk:
- Pemeriksaan motosikal percuma – ‘16-point check’ oleh mekanik bertauliah Suzuki Malaysia.
- Penukaran 400 unit topi keledar baharu kepada penunggang motosikal.
- Pemberian topi keledar kanak-kanak sebagai simbolik langkah perlindungan penumpang muda.
- Pameran motosikal dan aksesori keselamatan.
Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. dalam ucapannya menekankan komitmen Suzuki Malaysia untuk terus menyokong inisiatif keselamatan jalan raya terutama penunggang motosikal demi kesejahteraan masyarakat.
Perasmian Kempen
Majlis gimik perasmian disempurnakan dengan acara simbolik pukulan gong oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, bersama Yang berusaha Encik Yap Kiew San, Pengerusi MMSDA, dan Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya.
Penutup Dan Harapan
Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 menyediakan pelbagai aktiviti dan peluang pendidikan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya. Dengan kerjasama semua pihak, kempen ini diharapkan dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dan membentuk budaya jalan raya yang lebih selamat di Malaysia.