Masih ingatkah anda apabila anda mengambil ujian undang-undang berkomputer sebelum anda mendapatkan kebenaran untuk mengambil ujian praktikal untuk mendapatkan lesen memandu dahulu?
Mengikut institut memandu yang kita pilih, kita terpaksa pergi ke institut menandu atau pusat ujian berkomputer yang lain bagi mengambil ujian undang-undang. Tetapi kesusahan ini mungkin dapat dielakkan atau dikurangkan kerana kerajaan akan membenarkan institut memandu untuk mengendalikan pusat ujian undang-undang berkomputer (KPP01) di premis masing-masing mulai April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini akan membolehkan calon mengambil ujian KPP dan ujian litar di tempat sama sekali gus memudahkan mereka serta mengurangkan masa menunggu.
“Namun IM yang berhasrat untuk membuka pusat ujian berkenaan disyaratkan untuk menawarkan eTesting bagi ujian litar.
“IM yang diluluskan akan diwajibkan untuk turut menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun,” katanya.
Data dan soalan adalah berpusat dan di bawah kawalan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), walaupun ujian undang-undang berkomputer boleh dijalankan di premis IM.
“Inisiatif yang diumumkan ini adalah usaha kementerian dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia dan seterusnya menyokong ke arah penyampaian perkhidmatan pendigitalan,” katanya.
Loke turut berkata harga maksimum untuk ujian KPP ditetapkan pada RM17 bagi motosikal dan RM27 bagi kenderaan lain.