Moventuum Sdn Bhd bersama majalah dua roda terkemuka di Malaysia, Roda-Roda dengan rasminya mengumumkan pelancaran Kuala Lumpur Bike Show 2023 (KLBS ’23) yang akan berlangsung dari 24 hingga 27 Ogos ini.
Bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), acara tersebut akana berlangsung selama empat hari di Dewan Tun Razak 3 dan 4, Plaza Putra dan Dewan Merdeka dari 10 pagi hingga 10 malam.
Menurut pihak penganjur, KLBS ’23 diperkenalkan bertujuan untuk menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa bagi melihat dengan lebih dekat tawaran motosikal di Malaysia.
Acara tersebut akan turut menempatkan pelancaran beberapa model baharu di samping bengkel teknikal, pusat pameran, tapak jualan, aktiviti luar dan pelbagai lagi.
“Terdapat pelbagai acara babitkan motosikal telah diadakan di Malaysia namun belum ada lagi acara khas yang boleh diklasifikasikan sebagai acara peringkat antarabangsa dan premium.
“KLBS ’23 akan memberi ruang kepada pemain industri untuk mempamerkan produk dan tawaran terbaru mereka sekaligus membenarkan pengunjung mengalami pengalaman dua roda terbaik,” jelas Pengarah Urusan Moventuum, Farouk Nurish.
Menariknya, sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung luar, pelbagai promosi akan diadakan bagi menarik minat mereka dari Singapura, Thailand, Indonesia dan beberapa negara Asia lain.
Sementara itu, Pengarah Majalah Roda-Roda, Dr Yusseri Yusoff turut teruja dengan penglibatan majalah ikonik itu dalam acara yang julung kalinya bakal diadakan.
“Saya sentiasa mengidamkan agar Roda-Roda menjadi sebahagian daripada acara seperti ini. Segalanya tentang motosikal, tentang kami yang menunggang motosikal dan tentang semangat kami terhadap jentera tersebut,” jelasnya.
Berikut maklumat jualan tiket:
- pas sehari (dewasa) – RM38
- pas sehari (kanak-kanak 12 tahun keatas) – RM19
- pas 4 hari (dewasa).- RM68
- pas 4 hari (kanak-kanak 12 tahun keatas) – RM38
Sementara itu, KLBS ’23 turut menawarkan tiket ‘early bird’ RM28 (pas sehari) bagi dewasa dan RM45 (pas 4 hari) bagi dewasa apabila dibeli sebelum 31 Mei 2023.
Pembelian tiket boleh dibuat di www.kualalumpurbikeshow.com.