Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menerima 40 unit motosikal berkuasa tinggi jenis BMW R 1250 RT bagi kegunaan rasmi.
Penyerahan model dari BMW Motorrad Malaysia itu disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain ketika Perasmian Penyerahan Motosikal Penguatkuasa Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), hari ini.
Kehadiran motosikal tersebut adalah sebahagian daripada usaha mempertingkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan KPTD.
Perolehan 40 unit BMW R 1250 RT itu adalah secara sewaan untuk tempoh lima tahun bagi membantu tugas KPTD.
Untuk rekod, BMW R 1250 RT merupakan motosikal jenis ‘grand-tourer’ yang dihidupkan enjin boxer 1,254cc dengan teknologi ShiftCam yang menawarkan 136hp pada 7,750rpm dan 143Nm pada 6,250rpm.
Model ini berupaya mencapai tahap kelajuan lebih 200km/j dibantu tangki berkapasiti 25L.