KTM 390 Adventure R (2025) telah dipratonton di EICMA 2024.
Tidak seperti pengeluar lain, nama “R” untuk KTM menandakan varian pengembaraan dengan lebih banyak keupayaan off-road (lasak) dan spesifikasi yang lebih tinggi. Sebagai contoh, 790 dan 890 Adventure R, 1290 Super Adventure R. Malah, ramai di kalangan wartawan telah bertanya tentang 390 Adventure berspesifikasi “R” sejak ia dilancarkan pada 2019. Jadi, KTM akhirnya menyahut permintaan kami.
Bagaimanapun, KTM 390 Adventure R (2025) adalah 99% baharu berbanding dengan model 390 Adventure semasa.
Ciri-ciri utama
- Pertama, KTM 390 Adventure R 2025 mempunyai rupa baharu, dan amat berbeza daripada foto-foto intipan.
- Sepasang LED bulat bertingkat diapit oleh DRL LED seperti pada 990 Duke, manakala skrin TFT 5-inci ditempatkan di “menara” (tower) yang lebih tinggi dan skrin depan yang lebih besar.
- KTM berkata motosikal baharu itu akan berkongsi enjin LC4 390 Duke yang dikemas kini, yang bersaiz 399cc, dan menghasilkan 44hp dan 39Nm. Namun angka ini akan berbeza untuk 390 Adventure R kelak.
- Enjin baharu itu mempunyai lejang 64mm yang lebih panjang, sambil meninggalkan gerek pada 89mm, sekali gus menggerakkan tork puncak pada 1,000 RPM lebih rendah.
- Di hadapan adalah fork WP Apex boleh laras sepenuhnya dengan jarak gerakan 230mm, berbanding hanya 170mm untuk varian standard.
- Di bahagian belakang adalah monoshock WP Apex dengan jarak gerakan 230mm berbanding 177mm. Ia boleh laras untuk redaman lantunan dan prabeban.
- Lengan ayun yang dibuat dengan cara tuangan graviti yang baharu dan direka bentuk semula melengkapkan suspensi belakang.
- Roda-rodanya adalah 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, berbanding kombinasi 19/18 pada 390 Adventre yang standard.
- Terdapat kerangka utama dan kerangka belakang yang baharu, dan walaupun ia kelihatan serupa dengan kerangka 390 Duke (2024), terdapat pendakap tambahan untuk tugas lasak.
- Peliknya, peredam ekzos Akrapovic dipasang rendah dan tentunya akan menimbulkan kebimbangan ketika melintas air, tetapi ia membolehkan penunggang memasang bagasi lembut tanpa perlu risau tentang haba ekzos.
- Sudah tentu terdapat mod tunggangan Rain, Street, dan Rally. Mod Rally membolehkan ABS belakang dinyahaktifkan. Walau bagaimanapun, tidak disebutkan tahap kawalan cengkaman boleh laras seperti 790/890 Adventure R.
KTM tidak menyatakan bila KTM 390 Adventure R (2025) akan mula dijual dan berapa harganya. Kami berharap dapat mengujinya semasa pelancaran media antarabangsa, seperti yang kami lakukan untuk 790 Adventure dan varian R-nya pada 2019.