KTM dengan rasminya memperkenalkan KTM 390 Duke 2024 untuk pasaran global yang hadir dengan pelbagai ciri baharu.
Bagi tahun 2024, 390 Duke tampil dengan enjin 399cc baharu menggantikan platform 373cc sebelum ini. Hasilnya, enjin baharu itu menawarkan 44hp dan 39Nm berbanding 42.9hp dan 37Nm yang ditawarkan pada model terdahulu.
Untuk rekod, KTM mengekalkan beberapa ciri yang terdapat pada versi sebelumnya termasuk klac slipper, quickshifter dan transmisi manual 6-kelajuan namun versi 2024 ini jug telah dinaik taraf dengan pakej elektronik baharu yang merangkumi ‘launch control’ dan tiga mod menunggang; Rain, Street dan Track.
Selain itu, model 2024 ini juga datang dengan panel meter digital 5-inci baharu yang turut boleh disambung kepada telefon pintar selain menawarkan ciri ‘turn-by-turn navigation.
Dari segi rekaan, KTM 390 Duke 2024 ini juga tampil lebih sporty dan agresif terutamanya dengan rekaan lampu depan baharu. Reka bentuk tangki yang berlainan juga menyumbang kepada rupa keseluruhan yang lebih agresif.
KTM juga memperkenalkan casis baharu pada 390 Duke terbaru ini termasuk fork USD WP boleh laras (fully-adjustable) serta cakera brek depan dan belakang. Menariknya, model 2024 ini juga bukan sahaja dilengkapi ABS dwi-saluran malah termasuk cornering ABS dan Supermoto ABS.
Buat masa ini di Malaysia, genersi 390 Duke sedia ada dijual pada harga RM31,800. Kami jangkakan akan berlaku kenaikan harga bagi model 2024 ini sekiranya dipasarkan disini nanti.