Bikesrepublic

Lawatan Kilang Zontes

  • Kami bersama dengan beberapa wakil pengedar rasmi jenama Zontes di Malaysia telah berpeluang untuk melawat kilang Guangdong Tayo Motorcycle Technology Co., Ltd. di China.
  • Syarikat ini mengilangkan jenama Zontes di samping beberapa buah jenama yang lain.
  • Apa yang telah kami saksikan di sana cukup menakjubkan dan mengagumkan semua yang turut serta dalam lawatan ini.

Seperti mana yang sudah anda semua sedia maklum, nama Zontes mulai meniti bibir para peminat motosikal di Malaysia. Kami telah mengenali ratusan motosikal dalam perjalanan kami dan dengan yakin sekali boleh mengatakan bahawa motosikal Zontes ini tampak berkualiti tinggi dari segi binaan dan kemasannya.

Dan bagi membuktikan yang motosikal-motosikal ini dibina dalam kilang yang serba canggih, Zontes Malaysia telah membawa kami bersama dengan sebilangan wakil pengedar rasmi mereka ke kilangnya di Guangdong, China.

Tujuan lawatan

Tujuan utama lawatan kilang ini bagi menghapuskan keraguan yang ada pada jenama motosikal dari China ini.

Ada ramai antara pengguna motosikal keluaran China yang tertentu sebelum ini tidak berpuas hati dengan motosikal mereka. Ramai antara pembaca telah membangkitkan kebimbangan mereka terhadap kualiti, reliabiliti, teknologi, perkhidmatan selepas jualan dan kesediaan alat ganti. Ada antara mereka yang telah mengalami masalah ini sendiri. Tidak lupa juga para wakil pengedar yang menjadi mangsa keadaan terpaksa menenangkan para pengguna yang tidak berpuas hati yang datang bersilih ganti.

Apakah perubahan yang dibawa oleh Zontes?

Zontes adalah jenama utama keluaran Guangdong Tayo Motorcycle Technology Co., Ltd. Ianya pada masa ini telah hadir di pelbagai negara di seluruh dunia termasukah Thailand, Filipina, Indonesia, India, benua Amerika, Afrika Selatan, dan di negara-negara Eropah termasuk Perancis dan United Kingdom, dan menerima ulasan yang amat baik. Momentum itu masih lagi sedang meningkat naik.

Kualiti dan ciri yang telah kami dapati pada ketiga-tiga motosikal berkenaan sewaktu pelancarannya menandingi para pengeluar ternama. Bagaimana pun, tiada apa yang dapat menandingi pengalaman melihat sendiri proses pengilangannya.

Ketibaan di kilang

Kakitangan kilang telah memperagakan model-model keluaran mereka di ruang legar, mengalukan kedatangan kami. Terdapat antaranya motosikal prototaip dan juga beberapa buah moped elektrik.

Sebelum kami memasuki kilang, kakitangan yang menyambut kami telah mengedarkan stiker kecil bagi menutup kamera hadapan dan belakang telefon kami. Saya diminta untuk meninggalkan kamera DSLR saya di meja penyambut tamu.

Ketika kami menghampiri pintu masuk kilang, saya merasa kagum dengan pintu gelangsar berwarna putih ala ‘Star Wars’.

Kami menyarung penutup plastik pada kasut kami dan memakai topeng muka sebelum masuk.

Jabatan Kajian dan Pembangunan

Baris demi baris pangkalan komputer menyambut kami di sebelah kanan, manakala di belah kiri pula tersusun satu barisan model contoh tanah liat. Kami telah memasuki jabatan rekabentuk, kajian dan pembangunan.

Jabatan Rekabentuk, Kajian dan Pembangunan

Mereka sedang mengusahakan model contoh tanah liat skala penuh beberapa buah skuter dan motosikal. Poster besar lakaran rekabentuk terpampang di atas dinding di latar belakang mereka. Model tanah liat memudahkan mereka untuk menvisualisasikan dan mengubah rekabentuk akhir mereka.

Di situ juga terdapat model contoh tanah liat model-model terdahulu yang berada di satu sudut. Dalam jumlah puluhan!

Kami melewati jabatan rekabentuk dalam perjalanan ke aras pengeluaran. Kami juga berpeluang mengintip rekabentuk model Zontes yang akan datang, dan ianya tampak garang, lebih garang lagi dari model yang sedia ada. Syarikat ini juga merancang untuk memperkenalkan motosikal 600cc hingga 1000cc dengan enjin triple dan inline Four.

Aras pengeluaran

Sewaktu kami menuju ke lantai pemasangan terakhir, kami berpeluang bersembang dengan wakil kilang.

Guangdong Tayo menghasilkan sendiri 80% bahagian dan komponen motosikal mereka. Ini termasuklah enjin, suspensi (fork, penyerap hentakan, langan ayun), kerangka, panel badan, komponen, termasuklah LED, pelana, palang pemegang, sistem ekzos, roda, skrin LED, suis gear, dan sebagainya, sehinggalah ke nat skru, pasak dan pengikat. Kelengkapan yang mereka ambil dari sumber luar adalah sistem suntikan bahanapi Delphi, ABS Bosch 9.1M, tayar, dan omboh.

Mengapa mereka melakukan yang sedemikian? Pengeluar lain selalunya mendapatkan sumber komponen dari pembekal dan menghasilkan bahagian-bahagian yang lebih besar seperti perumah enjin, kerangka, pelana, dan panel badan. Menghasilkan sendiri bahagian dan komponen boleh menelan belanja yang besar, berbanding menggunakan bahagian daripada para pembekal dan memasangnya seperti Lego.

Jawapannya berkait rapat dengan falsafah Presiden GuangDong Tayo:

  • Dia mahu memastikan kualiti yang sebaik mungkin (dan yang lebih baik daripada itu, kami akan terangkan kemudian) dan sedar yang dia boleh kawalnya dengan lebih baik dari dalam.
  • Masalah dan isu yang timbul boleh dikenalpasti dan diselesaikan dengan pantas. Syarikat itu boleh menghentikan pengilangan sebaik sahaja isu dikenalpasti, daripada membiarkannya dan memulakan panggilan semula di kemudian hari. Menyelesaikan isu dengan pembekal mengambil masa, yang mana melibatkan penyiasatan, ujian dan akhirnya penyelesaian (jika ada penyelesaiannya). Ini mungkin mengambil masa berbulan atau bertahun lamanya! Pada waktu itu, pengguna dan wakil pengedar sudah berasa tidak tidak puas hati dan hilang kepercayaan mereka.

Kami bertanya mengenai kebolehan pengeluaran kilang ini. Jawapannya, “Satu motosikal lengkap setiap 3 minit.”

Bagaimana pula dengan rangkaian ZT310? “Model tersebut diperkenalkan tahun lalu. Sehingga kini, kami telah mengeksport lebih daripada 20,000 unit di seluruh dunia. Kami telah menjual hampir 100,000 unit di China sahaja.” Semua yang mendengarnya terkejut.

Kami berhenti di kawasan pemasangan enjin, di mana kami telah menyaksikan sendiri bahagian luaran dan dalaman enjin ZT310. Dan apa yang akan kami katakan selepas ini adalah pandangan jujur kami, kerana kami sedar yang ianya memberi kesan ke atas kredibiliti kami. Kualiti silinder enjin, kepala silinder, penutup injap, acuan bekas engkol, palang penyambung, aci engkol, semuanya sama hebat seperti mana-mana motosikal dari pengeluar ternama lain.

Setiap pekerja memasang sebuah enjin dari mula hingga siap, berbanding hanya memasang satu-satu bahagian dan menggerakkannya dalam barisan untuk pekerja yang lain. Melalui cara ini, kilang boleh menilai prestasi setiap pekerja bagi menyediakan latihan tambahan.

Kawasan mesin CNC

Kami dibawa ke satu bahagian melewati mesin CNC (computer numerically controlled). Seperti namanya itu, sebuah mesin CNC akan menerima arahan daripada komputer dan mencanai bahagian. Terdapat 50 buah mesin ini buat masa ini, dengan nilai anggaran $12 juta setiap satu. “Namun ianya masih belum mencukupi,” ujar wakil kilang. “Masih ada banyak lagi mesin yang bakal tiba kerana kami perlu meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan!”

Mesin pencanai CNC

Kawasan mengecat

Bahagian badan motosikal akan dipaut atas sebuah palang dan diputar dalam bilik mengecat. Pengecatannya akan dilaksanakan oleh robot.

“Robot-robot ini datang adri Jepun, Jerman, dan Korea Selatan. Tetapi, ianya diprogramkan oleh kami sendiri. Atas sebab itulah para pembekal datang ke sini untuk belajar dari kami,” terang wakil kilang dengan bangganya.

Terdapat rak yang menempatkan bahagian yang sudah siap dicat, dalam kes ini, untuk madgad. Setiap satu mempamerkan kualiti dan kemasan cat yang konsisten. Kami turut membandingkan dua buah madgad daripada dua buah motosikal yang berbeza. Kualiti kedua-duanya serupa.

Kawasan pengimpalan kerangka

Ini adalah bahagian yang penulis nanti-nantikan. Ianya kerana tidak kiralah betapa hebatnya suspensi atau komponen yang anda sertakan pada sesebuah motosikal itu, ianya kerangka dan casisnya yang menyatukan kesemuanya menjadikannya sama ada sebuah motosikal yang hebat, atau sebuah motosikal yang teruk.

Kerangka keluli lebih mudah dan murah untuk dihasilkan. Bahannya kuat, bergantung pada beratnya, namun ianya boleh dibentuk semula dengan lebih mudah. Kerangka memainkan satu lagi peranan yang penting bagi motosikal Zontes kerana minyak enjin berkitar melaluinya menjalankan tugas sebagai pendingin minyak. Ini bermakna kimpalannya perlu sempurna.

Tiub keluli yang telah dibengkokkan akan diletakkan atas satu platform yang boleh bergerak dalam kesemua paksi secara mendatar dan berputar seperti pemain rekod vinil. Robot akan menggunakan jumlah yang tepat dan kimpalan mereka adalah konsisten. Pengimpal pakar akan menghabiskan tugas dengan mengimpal bahagian yang tidak boleh dicapai oleh robot.

Kawasan cetak

Di sinilah di mana lembaran keluli dibentuk menjadi bahagian motosikal. Dalam kes ini, tangki bahanapi. Benar, motosikal Zontes menggunakan tangki bahanapi aluminium.

Lembaran keluli yang besar diletakkan di atas acuan. Sebuah penekan hidraulik yang besar mengenakan tekanan dari atas, dan terhasillah bahagian atas tangki bahanapi.

Kawasan acuan tempa

Di sinilah tempatnya mereka menempa bahagian keluli dan plastik – acuan tempa berketekanan tinggi di satu bahagian dan acuan plastik di sebelahnya.

Aluminium lebur disalurkan melalui paip memasuki mesin untuk ditempa menjadi bahagian motosikal. Selalunya ianya adalah bahagian enjin yang telah kami sebutkan tadi. Acuan kasar itu tadi kemudiannya dipotong lebihannya oleh para pekerja dengan peralatan tangan.

Setiap satu bahagian akan diperiksa menggunakan sebuah mesin sinar-x bagi mengesankan kecacatan. Bahagian yang mempunyai kecacatan melebihi 3 mikron akan ditolak serta-merta (rambut manusia secara purata bersaiz 50 mikron).

Penyelia di seksyen ini juga telah menunjukkan kepada kami sebuah lengan ayun yang telah lengkap untuk motosikal cruiser ZT310-V. Ia tampak besar namun hanya seberat 4.7kg. Lengan ayun rangkaian motosikal ZT310 ditempa dari satu bahagian dan bukannya dikimpal mengikut bahagian, bagi menghapuskan titik lemah, selain membolehkan jurutera untuk menala sifat kelenturannya bagi pengendaliannya.

Kekisi terbukanya itu mengingatkan kami kepada lengan ayun KTM, dan ianya masuk akal kerana ia membolehkan pengeluar untuk mengurangkan penggunaan bahan dan juga memudahkan mereka mengesan sebarang kerosakan. Penyelianya turut menunjukkan sebuah lengan ayun yang telah bengkok. Ia telah digunakan untuk menguji kekuatannya. Ia memerlukan daya melebihi dua tan untuk membengkokkan kekudanya, namun, ia tidak patah.

Untuk plastiknya, Guangdong Tayo menggunakan sebuah resin termoplastik istimewa yang kalis-kecai. Seorang pekerja kilang mendemonstrasikan kebolehan ini dengan meletakkan sebuah panel sisi di atas lantai dan menghentaknya dengan sebuah tukul yang besar. Panel itu tidak retak atau pecah, tetapi kembali kepada bentuk asalnya.

Kawasan pengimpalan tangki bahanapi

Sungguh besar kilang ini! Laman sesawang syarikat ada mengatakan yang ianya meliputi 400, meter per segi (40 hektar) dan ianya sedang dibesarkan lagi bagi memenuhi permintaan tambahan. Kami perlu menaiki bugi elektrik untuk menuju ke destinasi berikutnya.

Kami berhenti di seksyen di mana bahagian atas dan bahagian bawah tangki bahanapi dikimpal bersama. Tugas ini dijalankan oleh robot. Lubang pengisi bahanapi turut dikimpal di seksyen ini.

Kawasan pencanaian gear CNC

Kami melewati satu lagi barisan mesin CNC. Di sini ia digunakan untuk mencanai gear transmis dan gegancu cam, di samping camshaft dan gelendong syif transmisi.

Kawasan pengujian

Motosikal yang siap dipasang akan diisi dengan minyak petrol dan ditunggang dalam litar uji dalam bangunan. Menunggang motosikal di luar bangunan akan mendedahkan motosikal baharu ini dengan cuaca. Setiap motosikal akan diuji di sini.

Bertemu dengan Presiden Guangdong Tayo Motorcycle Co., Ltd.

Kami berkumpul di bilik persidangan selepas makan tengah hari dan disertai oleh Encik Tao, presiden syarikat ini.

Encik Tao, Presiden Guangdong Tayo Motorcycle Technology Co., Ltd.

Dia telah menggariskan falsafahnya untuk organisasinya itu, yang mana ianya bertumpukan kepada inovasi dan pembangunan idea baharu, atau idea yang pernah diusulkan tetapi tidak pernah dilaksanakan.

Ianya cukup mengagumkan mendengar bagaimana dia cuba memperkenalkan teknologi yang baharu. Tetapi, pada masa yang sama, tidak lupa untuk menerapkan kualiti dan reliabiliti pada teknologi berkenaan. Atas sebab itulah dia memilih untuk membina keseluruhan motosikal dari mula.

Encik Tao telah membuat satu pertunjukan sebelum kami menuju pulang ke Guangzhou. Dia telah memandu kereta Lexus miliknya yang telah diubahsuai dan membuat satu pertunjukan drift.

Kesimpulan

Terdapat beberapa seksyen yang tidak ditunjukkan kepada kami, termasuklah seksyen penempaan roda dan saduran debu. Bagaimana pun, apa yang telah kami saksikan telah meyakinkan kami akan komitmen syarikat ini.

Guangdong Tayo Motorcycle Technology Co., Ltd. bukanlah sebuah pengilang yang sekadar mahu mengeluarkan ribuan motosikal dan menjualnya pada harga yang mahal. Sebaliknya, apa yang telah kami saksikan sendiri adalah kesungguhan mereka untuk menghasilkan motosikal yang terbaik bagi menyaingi para pengeluar utama dari seluruh dunia.

Ramai yang mempersendakan Honda ketika mereka baru mahu bermula, tetapi, lihatlah di mana mereka sekarang. Adakah Zontes mampu mencapai taraf sebesar itu? Dengan kesungguhan yang mereka tunjukkan pada kualiti dan teknologi, ia mungkin dalam capaian mereka.

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube