Jabatan Pengangkutan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan lebih daripada 107,000 saman dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina, bermula 20 Januari lalu hingga hari ini (10 Febuari).
Kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan, pelesenan pemandu dan teknikal antara kesalahan tertinggi yang direkodkan. Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya mengeluarkan notis sebanyak 107,014 notis atas pelbagai kesalahan ke atas pelbagai kenderaan dan pemandu hasil pemeriksaan sebanyak 429,423 kenderaan di seluruh negara.
Selain itu sebanyak 724 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai insurans dan cukai jalan serta kenderaan yang dipandu warga asing tanpa lesen yang sah.
“Notis JPJ(P) 22 dikeluarkan atas kesalahan seperti berkaitan pelesenan kenderaan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sebanyak 29,994; pelesenan pemandu iaitu tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh (20,414) dan teknikal iaitu brek dan tayar botak (15,610).
Tambah lagi sebanyak notis 9,052 dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan, kesalahan berkaitan kesalahan utama (3,994), kesalahan kenderaan barangan (3,161).
“Bagi kesalahan kenderaan perkhidmatan awam (bas) sebanyak 241 notis dikeluarkan dan gagal patuhi larangan pemanduan kenderaan barangan pula 140 notis,” katanya.
Operasi bersepadu berkenaan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia.
Mengulas lanjut, Aedy berkata, kesalahan teknikal seperti tayar dan brek menjadi kesalahan yang kerap dalam setiap operasi dan pihaknya mengingatkan semua pengguna dan pemilik kenderaan atau pemilik syarikat kenderaan sentiasa memeriksa kenderaan mereka.
Operasi itu juga menguatkuasakan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan selama empat hari iaitu pada 27 dan lalu (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari lalu (selepas perayaan).
“JPJ mengesan kenderaan barangan gagal mematuhi larangan berkenaan dan 140 notis dikeluarkan serta 21 kenderaan ditahan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Walaubagaimanapun, jumlah pengeluaran saman ketika Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya 207,127 notis.
“Statistik itu menunjukkan terdapat peningkatan tahap dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan,” katanya