Michelin Malaysia dan KTM Asia mengumumkan kerjasama mereka yang rasmi di Asia Tenggara, dijalin untuk memacu kecemerlangan sukan permotoran dengan mencabar batasan prestasi, inovasi, dan daya tahan. Usaha sama luar biasa antara dua peneraju industri ini akan dirungkaikan di acara Rimba Raid edisi 2024 yang dinanti-nantikan ramai, iaitu perlumbaan kembara motosikal terbesar di dunia yang mengambil tempat di Lembah Lenggong, Malaysia yang indah, dari 25 hingga 29 September.
Tahun ini, Rimba Raid akan mempamerkan integrasi yang sempurna antara teknologi tayar bertaraf dunia Michelin dan motosikal prestasi berkuasa tinggi oleh KTM serta slogan “READY TO RACE” mereka.
Kolaborasi ini akan diketengahkan oleh sebuah pasukan handal yang dianggotai lima pelumba elit dari Singapura, Malaysia, dan Korea Selatan. Pasukan berkenaan akan menunggang motosikal KTM 890 ADVENTURE R yang dimuatkan dengan tayar MICHELIN Enduro Medium yang popular daripada Michelin, dirumus untuk kawalan yang cemerlang dengan blok bunga tayar berekaan rumit bagi menjamin cengkaman dan kestabilan di atas landasan yang mencabar.
Berpegang kepada falsafah KTM, motosikal ini akan tampil di garisan permulaan dalam hampir bentuk yang asal, membawakan penambahbaikan KTM POWERPARTS secara terus daripada katalog rasmi. Jentera yang mengagumkan ini akan dibelakangi oleh sebuah pasukan teknikal dari pihak Michelin dan juga KTM Asia, memastikan prestasi yang optimum sepanjang acara tersebut.
Prichapakorn Dangrojana, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura, dan Brunei, menyatakan “Di Michelin, tayar kami melambangkan prestasi dan daya tahan tinggi yang dikehendaki bagi mengharungi landasan-landasan yang paling mencabar. Menerusi usaha sama dengan KTM Asia, kita bukan sahaja menaik taraf pengalaman perlumbaan – tapi juga memacu kecemerlangan sukan permotoran ke hadapan, sejajar dengan inisiatif #WeRaceForChange kita, yang memberi fokus kepada kemampanan, diversiti, dan inovasi dalam sukan permotoran. Melalui usaha sama ini juga, kita bukan sahaja mencabar batasan prestasi tapi turut bantu mencorak alaf baharu yang lebih mampan dan terangkum bagi sukan perlumbaan.”
Enrico Remigio, Pengurus Besar KTM Asia, turut berkongsi, “KTM teruja untuk berkolaborasi dengan rakan pengeluar tayar yang benar-benar memahami tuntutan ekstrem dalam temasya perlumbaan yang penting seperti ini. Usaha sama ini membuktikan dedikasi yang dikongsi bersama terhadap kecemerlangan sukan permotoran, dan kami teruja untuk melihat kolaborasi ini berdepan ujian yang terhebat di Rimba Raid Lenggong 2024.”
Bersedia untuk Berlumba di Rimba Raid Lenggong 2024
Dikenali sebagai acara yang paling mencabar dalam arena temasya perlumbaan seumpamanya, Rimba Raid mencabar penunggang dan jentera mereka sehabis- habisnya. Dengan kurang daripada separuh peserta yang berjaya menyudahkan dua edisi yang lalu, reputasi perlumbaan ini telah terbina atas cabaran ekstremnya yang menuntut prestasi serta daya tahan di tahap yang tertinggi.
Pada tahun 2023, Rimba Raid telah menggamit penyertaan 279 orang pesaing yang mendahagakan keterujaan dari 24 buah negara, termasuk 21 orang pelumba wanita, menyuluh sisi tarikan global dan keterangkuman acara ini.
Perlumbaan ini juga berfungsi sebagai sebuah pameran dinamik bagi jenama-jenama motosikal yang terkemuka, di mana 19 pengeluar motosikal merebut peluang untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka yang tercanggih.