Kymco merupakan antara jenama motosikal yang paling mencuri tumpuan ketika di pameran motosikal EICMA tahun lalu apabila memperkenalkan skuter maxi, AK550 ST generasi terbaru.
AK550 ST merupakan varian ‘flagship’ bagi Kymco bagi tahun 2023 yang menyertai AK550 (Standard) sedia ada.
Berdasarkan perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa Kymco AK550 ini akan turut dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Menurut sumber, beberapa pemilik motosikal Modenas Elegan 250EX akan berpeluang menyaksikan Kymco AK550 itu dengan lebih dekat ketika lawatan ke kilang Modenas di Gurun, Kedah nanti. Skuter maxi tersebut telah pun selesai proses VTA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.
Untuk rekod, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun dilantik pengeluar dan pengedar eksklusif KYMCO di Malaysia sejak 2016. Elegan 250EX juga merupakan skuter KYMCO yang telah dijenamakan semula oleh Modenas untuk dijual di pasaran tempatan.
KYMCO AK550 sememangnya mencuri tumpuan ekoran menampilkan ciri premium dan enjin berkuasa. Skuter maxi itu dikuasakan enjin ‘twin-cylinder’ 550cc 8-injap yang berkeupayaan menghasilkan 51hp dan 55Nm di samping mampu merekodkan kelajuan maksima 160km/j. Ini menjadikan AK550 lebih berkuasa berbanding pesaing, Yamaha TMAX yang menawarkan 47hp dan 55.7Nm dan SYM TL500 dengan 40hp dan 42.5Nm.
Sistem pecutan pula dikendalikan Electronic Throttle System (ETS) (atau ride-by-wire), yang kini berfungsi mengawal traction control. Selain itu, pengguna juga boleh menikmati fungsi ‘cruise control’ yang memudahkan tunggangan ketika menempuh perjalanan jauh.
Sementara itu, AK550 ST ini juga datang dengan dua paparan LCD digital serta TFT di bahagian tengah yang menampilkan sistem navigasi khas Kymco Noodoe yang boleh disambung kepada telefon pintar. Juga tidak ketinggalan brek Brembo M4, ABS, lampu LED penuh dengan DRL (daytime running light) dan penghadang angin boleh laras.
Selain itu AK550 juga menawarkan dua port pengecas USB, tangki 14.5L dan sistem tanpa kunci (keyless).
Setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada pihak Modenas mengenai perkara ini dan segalanya hanya akan terjawab sebaik kami menerima pengesahan. Apa pun, kami akan membawakan perkembangan selanjutnya mengenai skuter maxi baharu ini.