Pasukan Monster Energy Yamaha akan berpisah dengan VR46 Racing Apparel sebagai pembekal pakaian pasukan mereka bermula musim MotoGP 2025. Ia adalah penghujung perkongsian selama 4 tahun.
Sebaliknya, jenama pakaian sukan Itali, Macron, akan menjadi rakan kongsi pakaian rasmi pasukan itu. Macron akan mengambil peranan sebagai penaja dan pembekal rasmi pakaian pasukan, merekabentuk dan menghasilkan produk rasmi dan pakaian seragam korporat, termasuk pakaian lumba dan peralatan perjalanan. Syarikat itu juga akan menyediakan pakaian seragam baharu untuk Yamaha Motor Corporation dan Yamaha Motor Racing.
Pemisahan dengan VR46 Apparel ini menambah senarai pemecatan Yamaha dengan pelbagai projek perniagaan Valentino Rossi. Sebelum ini, Yamaha turut mengumumkan penamatan Yamaha VR46 Master Camp, program pembangunan pelumba muda yang berpusat di kemudahan VR46 Riders Academy untuk pasukan perlumbaan Moto2 mereka.
Sebagai langkah ke hadapan, Yamaha akan bergantung kepada kerjasama dengan pasukan satelit baharunya, Pramac Racing, untuk membangunkan bakat muda di peringkat pra-MotoGP.
Keputusan ini juga mematahkan khabar angin bahawa Pasukan Perlumbaan VR46 akan menjadi pasukan satelit Yamaha baharu. Sebaliknya, VR46 memilih untuk kekal bersama Ducati, memandangkan prestasi motosikal Ducati jauh lebih kompetitif berbanding Yamaha.
Malah, hubungan antara VR46 dan Ducati semakin rapat. Bermula musim depan, VR46 akan menjadi satu-satunya pasukan satelit Ducati yang dibekalkan dengan motosikal terbaharu, setanding dengan pasukan kilang. Sokongan penuh akan diberikan kepada Fabio Di Giannantonio, manakala Franco Morbidelli, bekas pelumba Yamaha, akan menggunakan motosikal Ducati mulai musim ini.