Pusingan kesebelas MotoGP di Litar Barcelona berlangsung penuh drama apabila perlumbaan awal terpaksa dihentikan ekoran berlakunya kemalangan melibatkan Alex Marquez, Enea Bastianini, Johann Zarco, Fabio Di Giannantonio dan Marco Bezzecchi di Turn 1.
Namun detik lebih mendebarkan berlaku sejurus selepas itu di Turn 2 apabila pertahan juara, Francesco Bagnaia yang sedang mendahului perlumbaan mengalami ‘highside’ lalu terbabas di tengah-tengah litar. Senario itu juga menyebabkan kakinya dilanggar pelumba KTM, Brad Binder yang gagal mengelak.
Sebaik bendera merah dikebarkan, Bagnaia terus dikejarkan ke Medical Centre untuk rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, perlumbaan dimulakan semula dengan Aleix Espargaro berada di grid paling depan namun kedudukannya terus hilang dipintas Jorge Martin.
Rakan sepasukan Espargaro, Maverick Vinales kemudiannya menerajui sebahagian besar perlumbaan sehingga membuka jurang selesa hampir 2 saat dihadapan Espargaro.
Bagaimanapun, ketika berbaki 5 lap terakhir, Espargaro berjaya merapatkan jurang dan bingkas memintas Vinales satu lap selepas itu. Bergelut dengan cengkaman tayar ekoran melakukan asakan awal, Vinales terus ketinggalan dan terpaksa akur dengan tempat kedua sementara Espargaro julang GP Catalunya.
Dalam pada itu, wakil Pramac Racing-Ducati, Jorge Martin melengkapkan podium di tempat ketiga.