Prinsipal pasukan Gresini Racing, Fausto Gresini telah meninggal dunia selepas bertarung nyawa dengan Covid-19.
Gresini, 60 tahun, berada di hospital sejak dua bulan lalu selepas dijangkiti Covid-19.
Bekas juara dunia 125cc itu disahkan positif Covid-19 pada Disember lalu dan telah pun berada dalam unit rawatan rapi di hospital Maggiore Carlo Alberto Pizzardi, Bologna.
Meskipun pada suatu ketika keadaan Gresini bertambah baik sehinggakan mampu menghubungi ahli keluarga menerusi panggilan video, kesihatan Gresini merosot sejurus selepas itu susulan alami pelbagai komplikasi.
Gresini Racing dalam satu kenyataan menyebut, “Berita yang kami enggan katakan tetapi perlu disampaikan. Selepas lebih dua bulan bertarung dengan Covid, Fausto Gresini telah meninggal dunia, beberapa hari selepas mencecah usia 60 tahun.”
Gresini terlibat dengan pengurusan selepas lebih 12 tahun beraksi di kelas 125cc.