Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menegaskan bahawa kemalangan di GP Amerika pada Ahad bukan salah sendiri.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan selepas turut kemalangan di Argentina, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, insiden di COTA paling mengecewakan apabila dia kecundang ketika sedang mendahului perlumbaan di samping kehilangan 45 mata setakat ini.
“Saya tak tahu apa yang berlaku.
“Sejujurnya, saya tidak tahu berapa lap saya lakukan minggu ini, mungkin 80 atau 100. Saya lakukannya dengan penuh kawalan dan fahaman tinggi tetapi ketika hari perlumbaan, saya kemalangan meskipun ketika sedang dalam kawalan.
“Saya sangat marah kerana saya pasti 100 peratus ini bukan salah saya.
“Di Argentina saya sedar saya terlalu memaksa tetapi bukan hari ini. Cumanya saya tak pasti apakah yang menjadi punca,” jelas Bagnaia.
Saingan di Austin, Texas pada Ahad menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara sekaligus menghadiahkan podium ke-100 bagi pasukan itu. Tempat kedua jadi milik pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara Fabio Quartararo (Yamaha) ketiga.
Dalam pada itu, perlumbaan MotoGP akan kembali bersambung pada penghujung bulan ini di Sepanyol.