Bikesrepublic

MotoGP: Rossi Sasar Kelajuan Lebih Baik Di Le Mans

Pelumba pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Valentino Rossi, mengharapkan prestasi yang lebih baik dapat dipamerkan di Le Mans, hujung minggu ini.

Rossi sekadar menamatkan aksi di Jerez pada kedudukan ke-17 dua minggu lalu, sekaligus menyaksikan pelumba berusia 42 tahun itu sekadar mengutip empat mata selepas empat pusingan setakat ini.

“Hujung minggu ini, saya mahu tampil dengan aksi lebih baik, perbaiki kedudukan dan lebih pantas berbanding pusingan sebelum ini di Jerez,” jelasnya.

Musim lalu di GP Perancis, Rossi memulakan aksi di petak ke-10 namun gagal menamatkan perlumbaan apabila terbabas di selekoh pertama sebaik perlumbaan dimulakan.

“Tahun lalu, aksi saya cukup baik di Le Mans tetapi sayangnya hujan turun sebelum perlumbaan bermula dan saya jatuh di selekoh pertama.

“Le Mans merupakan antara litar kegemaran saya kerana terdapat banyak ruang pecut, saya suka menunggang di litar ini,” tambahnya.

Persembahan Rossi musim ini mencetuskan pelbagai perdebatan dengan ada yang mempersoalkan kemampuan pelumba veteran itu yang telah pun melepasi usia empat dekad.

Ini merupakan permulaan terburuk dalam karier MotoGP Rossi apabila masih gagal menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 10 terbaik selepas empat pusingan.

GP Perancis membuka tirai bermula dengan Ujian Bebas rasmi pada Jumaat. – GPOne

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan