Dorna telah mengesahkan pembatalan MotoGP Valencia 2024 akibat banjir yang dahsyat yang melanda wilayah itu. Agensi BBC melaporkan bahawa malapetaka itu telah meragut 202 nyawa, dengan masih ramai mangsa yang hilang, pada masa penulisan berita ini (2145 hrs., waktu Malaysia).
Gambar dari rantau ini telah menunjukkan landskap yang diliputi lumpur tebal, bersama-sama dengan kenderaan yang berselerak di merata tempat, termasuk di atas lebuh raya. Agensi cuaca kebangsaan Sepanyol berkata bahawa wilayah itu menyaksikan lebih daripada 300 liter hujan setiap meter persegi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, penganjur MotoGP menyatakan bahawa “kejohanan akan meletakkan usaha kolektif kami unutk menyokong dana bantuan yang sedia ada untuk memastikan impak positif kami dapat membantu kawasan itu”.
Sebahagian besar Sepanyol telah dilanda cuaca ekstrem sejak minggu lalu, dengan wilayah Valencia menjadi antara yang paling teruk dilanda. Beberapa bahagian litar Ricardo Tormo telah dihanyutkan sepenuhnya, dengan jalan masuk runtuh dan sejumlah besar kerosakan menyukarkan pengelolaan grand prix Valencia mulai 15 November.
Pusingan di Malaysia hujung minggu ini kini akan menjadi batu loncatan untuk usaha mengumpul dana, kerana penganjur cuba memastikan impak positif dapat dibuat untuk rakyat dan masyarakat yang terjejas akibat cuaca ekstrem.
Malah, beberapa pelumba MotoGP telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak berlumba di Valencia tanpa mengira sama ada litar Ricardo Tormo dapat dibaikki tepat pada masanya. Juara dunia, Francesco Bagnaia berkata beliau akan memboikot acara jika diadakan di Valencia walaupun ia akan menjejaskan perebutan kejuaraan MotoGP. Juara Dunia 9 kali, Marc Marquez juga berkata adalah wajar kejuaraan itu tidak diadakan di Valencia tahun ini bagi menghormati mangsa.
Dalam pada itu, Dorna sedang mempertimbangkan lokasi lain untuk mengadakan perlumbaan terakhir musim 2024. Beberapa komen di media sosial telah membuat spekulasi bahawa Malaysia sepatutnya menjadi pusingan terakhir kerana semuanya sudah sedia ada di Litar Antarabangsa Sepang.