Berita mengejut hadir dari kem Monster Energy Yamaha apabila pelumba veteran, Valentino Rossi disahkan kembali positif Covid-19.
Rossi terlepas dua pusingan di Aragon Oktober lalu apabila dia didapati positif selepas aksi di Le Mans.
Meskipun masih lagi positif pada Selasa minggu lalu, dia kemudiannya dibenarkan beraksi di Valencia selepas ujian PCR pada Khamis dan Jumaat mendapati negatif.
Bagaimanapun, dia gagal menamatkan aksi selepas lima lap susulan masalah mekanikal.
Kini, Rossi berdepan satu lagi berita buruk apabila disahkan positif Covid-19 dalam ujian pada Selasa.
Seperti minggu sebelumnya, Rossi perlu menjalani ujian kedua sebelum dibenarkan beraksi hujung minggu ini.
Sekiranya masih positif, Rossi bakal terlepas aksi terakhirnya bersama pasukan factory Yamaha di Portugal selepas disahkan sertai Petronas SRT bagi musim 2021.
Dalam perkembangan sama, keputusan positif Rossi mencetuskan persoalan tentang keberkesanan ujian PCR dan sama ada dia benar-benar bebas Covid-19 sewaktu dibenarkan beraksi di GP Eropah minggu lalu.