Bikesrepublic

MotoGP: Valentino Rossi Umum Bersara

Desas-desus mengenai masa depan Valentino Rossi di pentas MotoGP akhirnya terjawab apabila mengesahkan tidak akan meneruskan kariernya di perlumbaan dua roda bermula musim depan.

Ini bermakna, Petronas Sepang Racing Team (SRT) merupakan destinasi terakhirnya di kelas premier selepas lebih 30 tahun beraksi di MotoGP.

Rossi mengumumkan persaraannya sewaktu sesi sidang media yang berlangsung sebentar tadi menjelang GP Styria hujung minggu ini.

“Saya membuat keputusan untuk menamatkan karier saya hujung musim ini. Dengan dukacitanya, ini (2021) adalah musim terakhir saya di MotoGP.

“Ini adalah satu saat yang sukar bagi saya untuk perkatakan kerana saya sudah terlibat dengan sukan permotoran hampir 30 tahun,” jelas Rossi.

Menariknya, Rossi mengakui perancangan asal di awal musim 2021 adalah untuk meneruskan kariernya namun selepas beberapa keputusan kurang baik setakat ini, dia memutuskan untuk bersara.

Bagaimanapun, Rossi menyifatkan perjalanan kariernya selama ini cukup mengujakan.

“Saya bertuah kerana berjaya memenangi banyak perlumbaan, dan itu adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.

“Sememangnya satu keputusan yang sukar tetapi saya rasa ini adalah satu keputusan yang tepat kerana sukan ini mementingkan keputusan yang baik.

“Tahun depan, kehidupan saya akan berbeza tetapi saya menikmati setiap saat dalam pengembaraan ini,” tambah Rossi.

Rossi merupakan pelumba MotoGP paling berjaya dalam sejarah sukan itu dengan sembilan kejuaraan dunia dengan tujuh daripadanya di kelas premier.

Pelumba berusia 42 tahun itu akan kembali ke litar bersama SRT hujung minggu ini di Red Bull Ring untuk separuh kedua musim 2021.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan