Bikesrepublic

MotoGP: Vierge Bakal Diangkat Ke Kelas Premier, Damok Ke Petronas Sprinta Racing Musim Depan?

Pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) menjadi topik perbualan ketika ini ekoran status Valentino Rossi dan Franco Morbidelli masih belum dipastikan menjelang musim 2022.

Selain isu persaraan, Rossi turut dicanang untuk sertai pasukan miliknya Aramco Racing Team VR46 musim depan manakala Morbidelli dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan factory Yamaha bagi menggantikan Maverick Vinales.

Walaupun tiada pengesahan mengenai sebarang perkara di atas dari pelumba mahupun SRT namun jika mempertimbangkan beberapa faktor, khabar angin tersebut mungkin ada isinya.

Pertamanya, kontrak Rossi bersama SRT akan berakhir hujung musim ini dan peluang untuk pelumba itu meneruskan kariernya melebihi usia 42 tahun dilihat agak tipis.

Rossi juga berkemungkinan besar akan menolak peluang mengemudi jentera Desmosedici bersama VR46 musim depan setelah mengambil kira senario 2012, menamatkan musim itu di kedudukan keenam, ketinggalan 187 mata dibelakang juara, Jorge Lorenzo.

Apatah lagi prestasinya musim ini cukup hambar apabila sekadar mengutip 17 mata selepas sembilan pusingan meskipun beraksi dengan jentera factory M1.

Sementara itu, pencapaian Morbidelli lebih memberangsangkan, berjaya menaiki podium (tempat ketiga) ketika di GP Sepanyol walaupun menunggang jentera A-spec yang telah berusia dua tahun.

Maka tidak hairanlah, Morbidelli dilaporkan bakal berhijrah ke pasukan factory Yamaha musim depan dengan SRT dan pasukan prinsipal itu didakwa telah mencapai persetujuan bersama.

Bagaimanapun, situasi Rossi dan Morbidelli bakal mewujudkan satu tindakbalas berantai bukan sahaja di SRT malah melibatkan kelas di Moto2 dan Moto3 bermula dengan Datuk Razlan Razali perlu mencari pelumba baharu, bagi meneruskan saingan ke musim 2022.

Beberapa minggu lalu, ketika menjawab tentang situasi Rossi, Razlan menjelaskan pasukan itu akan kembali ke objektif asal, membangunkan bakat baharu.

Berpegang kepada landasan itu, pelumba Petronas Sprinta Racing Moto2, Xavi Vierge disebut sebagai calon sesuai untuk diangkat ke kelas premier.

Walaupun baru memasuki pertengahan musim 2021, prestasi Vierge cukup positif apabila berjaya menaiki podium di GP Catalunya di tempat ketiga di samping berjaya mengutip 50 mata setakat ini.

Mempertimbangkan faktor umur yang baru berusia 24 tahun dan prestasi semasa di Moto2 selain tiada sebarang ‘luahan kecewa’ daripada mulut pelumba kelahiran Barcelona, Sepanyol itu menjadikan Vierge bakat paling tepat untuk diasah di MotoGP bersama SRT.

Namun, kisah sama tidak boleh diutarakan mengenai rakan sepasukan, Jake Dixon, yang bakal tamat kontrak hujung musim ini.

Sekalipun mendapat sentuhan ketua kru baharu Mark Woodage yang diambil dari John McPhee di Moto3, Jun lalu, namun Dixon menamatkan perlumbaan minggu itu di Sachsenring di P21 dan P18 pada minggu seterusnya di Assen.

Bagaimanapun, Dixon masih mempunyai baki separuh kedua musim untuk kembali lebih meyakinkan bagi merebut peluang kekal di pasukan itu musim depan.

Sekiranya Vierge dinaikkan pangkat ke SRT, calon utama sebagai pengganti tentunya terarah pada Darryn Binder yang saban minggu bersaing dalam kelompok depan di Moto3 walaupun baru memasuki musim pertamanya bersama Sprinta Racing, menggantikan Khairul Idham Pawi.

Malah, adik kepada Brad Binder itu juga berjaya menaiki podium dua minggu berturut-turut di tempat ketiga dan kedua ketika di GP Qatar dan GP Doha.

Persembahan cemerlang Binder di Moto3 ketika ini sudah pasti menjadikan dia antara pilihan utama untuk diangkat ke Moto2 musim depan.

Gandingan di Moto3, McPhee juga dijangka berhijrah ke Moto2 kerana telah pun mencapai had umur maksimum 28 tahun yang dibenarkan untuk beraksi di kelas itu musim depan.

Pada masa sama, berdasarkan situasinya yang kecewa tidak mendapat slot ke Moto2 musim ini selain daripada tidak berpuas hati kehilangan khidmat Woodage ke Dixon, McPhee dijangka bakal angkat kaki ke pasukan baharu.

Ini menjadikan Razlan mempunyai kekosongan di Moto3 yang perlu diisi dengan bakat muda baharu.

Peminat sukan permotoran di Malaysia mahu menyaksikan SRT kembali dibarisi bakat muda tempatan dalam misi melahirkan lebih ramai Hafizh Syahrin di MotoGP.

Antara calon disebut, adalah Syarifuddin Azman @ Damok dan Adam Norrodin.

Razlan sendiri memantau perkembangan Damok dan Adam di Kejuaraan CEV Repsol ketika ini termasuk Hakim Danish di European Talent Cup.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.

“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif. Jadi, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” jelas Razlan ketika Damok berjaya memenangi Race 1 di Catalunya, Jun lalu

Damok berpeluang cerah, berdasarkan prestasi semasanya apatah lagi sudah biasa dengan jentera 250cc satu silinder di CEV, membuatkan dia antara yang sesuai untuk dibawa ke Petronas Sprinta Moto3.

Apa sekalipun, segalanya terletak di tangan Razlan Razali, yang kini berdepan tugas getir bagi menentukan barisan pelumba menuju musim 2022.

Walaupun terdapat pelbagai laporan dan desas-desus, pengendali SRT itu pastinya sudah ada perancangan tersendiri termasuk siapakah yang akan menerajui jentera M1 di MotoGP.

Apa yang pasti, Razlan mampu menarik nafas lega kerana mampu meneruskan saingan dengan sokongan Yamaha, tatkala pasukan baharu antaranya VR46 dan Gresini Racing telah pun mengesahkan kerjasama bersama Ducati, yang akan menurunkan lapan jentera Desmosedici tahun depan.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube