Bikesrepublic

Motosikal Ditunggang Pegawai Imigresen Dirempuh Kereta Dipercayai Langgar Lari

Dua motosikal berkuasa tinggi ditunggang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia terbabit kemalangan dipercayai langgar lari di Kilometer (KM) 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara, mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi patah kaki kanan.

Mangsa yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Insiden itu turut menyebabkan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata nahas kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah sama didakwa merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nizam.

“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal ditunggang Muhammad Nizam hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kecemasan.

“Pada masa sama, rakannya yang sedang menunggang motosikal di belakang dalam lorong kecemasan pula dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan Muhammad Nizam disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat parah di kepala. Seorang lagi mangsa patah kaki kanan, dan menjalani ujian sinar-X pada kepala di hospital,” katanya.

Zaidy berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan menghala ke utara dengan menunggang motosikal Kawasaki KLE650-C masing-masing.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu bertugas sebagai pegawai Imigresen di Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

“Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa terbabit dalam kemalangan itu. Hasil siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube