Bikesrepublic

Motosikal Lumba Paling Praktikal Untuk Dimiliki!

 

  • Apabila bercakap tentang motosikal lumba paling praktikal yang boleh kita miliki sekarang, terdapat beberapa pilihan yang tersedia dengan pelbagai spesifikasi dan tanda harga yang berbeza.
  • Tawaran terkini dalam kategori yang semakin berkembang ini adalah Ducati Supersport S dengan ciri-ciri serta prestasi yang sama taraf.
  • Bagi mereka yang merasakan yang ianya memiliki tanda harga yang terlalu besar, di sini kami senarai beberapa contoh terbaik yang mempunyai kedua-dua prestasi dan kebolehan pengembaraan.


Pada masa dan saat ini, para penggemar motosikal sering kali tercari-cari motosikal yang terbaik yang mampu menangani beberapa jenis penunggangan serta keadaan cuaca. Pencarian yang senantiasa berjalan untuk mendapatkan keseimbangan mutlak antara prestasi perlumbaan dan kebolehtunggangan pengembaraan yang selesa tidak dapat dielakkan dan para pengeluar mula memberikan perhatian kepada keperluan ini.

Ducati Malaysia sudah pasti mempunyai beberapa pilihan yang tersedia tetapi motosikal Ducati Supersport S 2017 yang baru dilancarkan semestinya mendapat perhatian pasaran yang luas di mana ia enawarkan prestasi perlumbaan dan pada masa yang sama boleh dibawa untuk perjalanan yang jauh.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Ducati 900 Supersport, TEKAN SINI.

Bagi sesetengah pihak, tanda harga yang ditetapkan mungkin menjadi salah satu faktor yang besar. Anda tidak perlu risau, para penunggang sekalian. Jika anda masih berminat untuk memiliki sebuah motosikal ‘sport-touring‘ milik anda sendiri, kami telah senaraikan beberapa buah pilihan yang praktikal yang tidak akan membebankan poket anda.

KAWASAKI Z900 ABS 2017 – RM50,959 (harga asas beserta GST)

Motosikal Kawasaki terkini dalam rangkaian Z menampilkan kuasa yang boleh dibanggakan, beserta dengan kebolehtunggangan dan keselesaan. Sewaktu kami menunggang uji motosikal Z900 ABS ini, kami cukup terkejut dengan kebolehannya, terutamanya dari segi agihan kuasa serta tork motosikal ini.

Enjin empat-selari, DOHC, sejukan cecair, 948cc ini menghasilkan sejumlah 123.6hp pada tahap 9,500rpm dan 98.6Nm pada 7,700rpm. Segala-galanya mengenai motosikal Z900 ABS ini telah dipertingkatkan pada satu tahap yang lebih tinggi dengan menggabungkan segalanya yang terbaik mengenai Z800 dan Z1000, bermula dari casisnya sehinggalah kepada imbangan keseluruhannya.

Lebih daripada itu, tahap keselesaan yang terdapat pada motosikal Z900 ini tidak seperti mana-mana motosikal naked berprestasi tinggi yang ada dalam pasaran. Dari rupa luarannya, badannya yang kekar itu beserta dengan jelmaan falsafah rekaan “Sugomi”, menjadikan motosikal Z900 ini bagaikan seekor Harimau Bintang, yang sedia untuk menerkam mangsanya. Tetapi, sebaik sahaja anda melabuhkan punggung di atasnya, tidak dapat anda nafikan betapa hebatnya ia menderu membelah jalan yang bersimpang-siur, atau menyelusup di antara kesesakan jalan raya di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Kawasaki Z900 ABS 2017 ini, TEKAN SINI.

TRIUMPH SPEED TRIPLE RS 2017 – RM66,900 (harga asas beserta GST)

Dilancarkan secara rasminya beberapa bulan yang lalu, motosikal Triumph Street Triple RS 2017 terbaru ini sememangnya sebuah motosikal naked paling sempurna pernah dihasilkan di luar Jepun. Sebaik manakah motosikal ini? Ianya teramatlah baik sehinggakan MotoGP telah memutuskan untuk menggunakan enjin 765cc, tiga-selarinya itu sebagai penjana kuasa rasmi dalam kelas pertengahan Moto2 bermula dari tahun 2019. Jika ianya cukup baik untuk MotoGP, sudah pasti ianya benar-benar bagus.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai jentera prototaip Moto2 Triumph 765cc, TEKAN SINI.

Berbalik semula kepada motosikal RS, Triumph Motorcycles telah melaburkan sejumlah yang besar dalam menghasilkan motosikal lumba naked berprestasi perlumbaaan kelas pertengahan yang terbaik yang bukan hanya akan mengujakan anda sahaja, tetapi ia juga menawarkan tahap keselesaan yang tinggi sewaktu berada di atas jalan raya.

Kami telah berpeluang untuk menunggang uji semua tiga varian bagi motosikal Street Triple 2017 terbaru. Walaupun ianya hanya merupakan varian tahap permulaan, Triumph Street Triple S yang diletakkan tanda harganya pada harga yang lebih rendah, iaitu RM52,900 (harga asas beserta GST) telah memberikan persembahan yang menakjubkan seiringan dengan penunggang hari litar yang lain di Litar Antarabangsa Sepang ssewaktu hari tunggang uji berkenaan.

Motosikal Street Triple RS ini dilengkapi dengan pelbagai perincian yang menarik sehingga ianya sukar untuk dipercayai bahawa motosikal ini ditetapkan pada harga kurang daripada RM70,000. Dilengkapkan dengan perincian premium seperti paparan berwarna sepenuhnya TFT, mod tunggangan boleh pilih, lampu LED sepenuhnya, fork hadapan beromboh besar Showa (boleh laras sepenuhnya), sebuah penyerap hentakan belakang Ohlins (boleh laras sepenuhnya), tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP, angkup Brembo, dan yang terbaik sekali, 121hp dan 77Nm tork maksima.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rangkaian motosikal Triumph Street Triple 2017, TEKAN SINI.

HONDA NC750X 2017 – RM58,287.28 (harga asas beserta GST)

Honda telah memperkenalkan motosikal dwi-sukan Honda NC750X beberapa tahun yang lalu dan model 2016 mereka yang telah diperkemaskini terbaru menjadikannya antara motosikal berjiwa pengembaraan dan tahan lasak yang paling kami gemari. Walaupun motosikal ini lebih kepada pengembaraan daripada lumba, tidak dapat dinafikan yang enjin 745cc sejukan cecairnya itu cukup menyengat dengan 54hp dan 68Nm tork.

Bercirikan fork hadapan “dual-bending valve” teleskopik Showa dan ruangan simpanan bawah pelana yang cukup luas menjadikan motosikal NC750X ini teramat unik berbanding dengan motosikal-motosikal yang lain dalam segmen yang sama. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan Honda DCT (Dual Clutch Transmission) yang membolehkan keselesaan penunggangan yang dipertingkatkan yang juga khas untuk Honda.

Dinilai pada harga RM58,287.28 (harga asas beserta GST), ianya boleh dianggap sebagai salah sebuah jentera sport-touring yang paling mampu milik di pasaran dengan penggayaan yang agresif, tahan lasak, tetapi pada masa yang sama mempunyai enjin yang berkuasa serta pengalaman menunggang yang selesa. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Honda NC750X, TEKAN SINI.

BMW F 800 R 2016 – RM43,500 (harga asas tidak termasuk GST)

Tercari-cari akan sesuatu dengan kejuruteraan Jerman yang terbaik pada harga yang berpatutan? Motosikal BMW F 800 R 2016 cukup sesuai untuk anda. BMW Motorrad telah tampil dengan motosikal naked ini yang amat berkesesuaian bagi para eksekutif berperingkat tinggi yang sering dalam perjalanan di antara bandar raya.

Dijana oleh enjin kembar-selari, 798cc sejukan cecair, motosikal F 800 R ini menghasilkan 90hp pada tahap 8,000rpm dan 86Nm pada tahap serendah 5,800rpm. Dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi seperti fork terbalik BMW, suspensi belakang gegelung pegas tengah, beserta dengan cakera brek hadapan yang besar dengan angkup empat omboh menjadikan motosikal F 800 R Sport ini amat berbaloi pada nilainya.

Motosikal F 800 R ini juga dilengkapkan dengan pelbagai perincian keselamatan seperti ABS, kawalan stabiliti, suspensi bantuan elektronik, serta sistem pemantauan tekanan udara tayar. Bagi sebuah motosikal BMW Motorrad yang diletakkan harganya pada RM43,500 (harga asas tidak termasuk GST), ianya dipenuhi dengan pelbagai ciri-ciri yang hebat sekali.

Untuk membelek spesifikasi penuh motosikal BMW F 800 R 2017, TEKAN SINI.

YAMAHA MT-09 TRACER 2017 – RM52,000 (harga asas beserta GST)

Sebuah lagi motosikal sport-tourer Jepun yang amat popular yang cukup menarik sekali adalah Yamaha MT-09 Tracer 2017. Tawaran terkini motosikal besar Yamaha yang tergolong dalam kategori CKD (completely knocked down) menjadikan motosikal MT-09 Tracer ini lebih menggiurkan dengan tanda harganya hanya pada tahap RM52,000 (harga asas beserta GST).

Enjin 847cc, tiga selari dengan sejukan cecair dan teknologi suntikan bahanapi ini telah terbukti menawarkan pengalaman penunggangan yang mengujakan, lebih-lebih lagi sekiranya anda membebaskan keseluruhan 113.4hp serta 87.5Nm torknya itu. Dengan beratnya yang hanya sekadar 210kg (termasuklah dengan bahanapi sebanyak 18 liter), ianya sebuah jentera yang dibina untuk penunggangan jarak jauh yang juga mampu menangani sebarang selekoh tanpa masalah.

Yamaha juga telah melengkapkan motosikal MT-09 Tracer ini dengan segala perincian penunggangan moden yang terbaik seperti Yamaha Traction Control System (TCS), ABS, Mod Penunggangan Boleh Pilih D-Mode yang khusus untuk Tracer, panel instrumen DOT Matrix berbilang fungsi, pelitup lampu hadapan aerodinamik dengan lampu hadapan LED berkembar, dan penghadang angin yang boleh dilaras ketinggiannya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Yamaha MT-09 Tracer 2017 terkini ini, TEKAN SINI.

SUZUKI GSX-S1000F ABS 2016 – RM78,864 (harga asas beserta GST)

Ianya mungkin sekali merupakan motosikal yang sering kali dibandingkan dengan motosikal Ducati Supersport S terkini. Jika dinilai dari segi rupa luarannya, sukar untuk dinafikan betapa tegapnya motosikal ini, ditambah pula dengan bahagian dalaman yang disepadankan, menjadikan motosikal ini sebuah pakej penunggangan yang teramat unik serta menyeronokkan.

Dijana oleh enjin yang sama yang boleh didapati dalah sebuah motosikal Suzuki GSX-R1000, motosikal GSX-S1000F ABS telah diperhalusi lagi untuk agihan kuasa yang lebih terkawal; namun, ianya tidaklah bermakna yang enjin 999cc, sejukan cecair, DOHC, empat selari dengan 145hp dan 106Nm tork ini tidak akan memberikan anda keterujaan yang tidak terhingga.

Diletakkan pada tanda harga RM78,864 (harga asas beserta GST), ianya masih satu jumlah yang agak besar tetapi anda tidak perlu risau kerana Suzuki telah memastikan yang anda akan mendapat nilai yang anda belanjakan, terutamanya bagi motosikal touring ini. Dilengkapi dengan perincian seperti fork hadapan terbalik 43mm KYB dengan suspensi belakang jenis pautan, dua cakera brek hadapan 310 dengan angkup monobloc Brembo, ABS, Kawalan Cengkaman (Traction Control), dan pelbagai lagi kelengkapan yang disediakan.

Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai pilihan motosikal lumba yang praktikal yang boleh anda dapatkan di pasaran sekarang yang mampu menderu laju di atas lebuh raya, sehebat ia menyusur jalan raya bersimpang-siur mendaki jalan berbukit pada tunggangan hujung minggu. Pilihlah mana-mana satu motosikal yang telah tersenarai di atas, kami yakin yang anda pasti berseronok menunggangnya tidak kiralah apa pun jua keadaan menunggang serta senarionya.

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube