Bikesrepublic

Pandu Uji dan Ulasan Honda CBR250RR (2025)

“Motor sportbike dah mati,” kita sering mendengar ungkapan itu berulang kali, diikuti dengan, “Rider sekarang lebih minat motor naked dan adventure.” Jika benar, mengapa kita masih melihat Honda CBR250RR dan adiknya CBR150RR, serta model dari jenama lain di mana-mana?

Hakikatnya, masih ramai peminat sportbike, tetapi harga sportbike kapasiti pertengahan dan superbike terlalu mahal bagi kebanyakan orang—termasuk penulis ini. Itulah sebabnya sportbike berkapasiti kecil dan satu-perempat liter (250cc) masih laris dijual. Selain Honda, ada juga Kawasaki Ninja 250R, Ninja ZX-25R, Yamaha YZF-R25, Suzuki Gixxer SF250, dan KTM RC250—semua bersaing dalam segmen popular ini.

Motosikal kelas ini juga merupakan langkah yang bagus untuk penunggang baharu menimba pengalaman menunggang sportbike sebelum beralih ke model berkapasiti lebih besar. Ia jauh lebih selamat bermula dengan motosikal kecil sebelum menunggang yang lebih besar.

Walaubagaimanapun, ciri-ciri teknologi dalam segmen ini agak terhad berbanding model berkapasiti lebih tinggi, demi mengekalkan harga yang berpatutan untuk pembeli.

Namun, Honda CBR250RR (2025) berusaha untuk melangkah lebih ke hadapan.

What is it?
Apa itu Honda CBR250RR?

Seperti yang disebutkan, ia adalah sportbike suku-liter yang ringan. Honda telah membuat banyak pembaharuan pada model ini, yang sebenarnya dilancarkan pada pertengahan 2024. Dari segi rekabentuk luaran, ia kelihatan lebih agresif walaupun mengekalkan bentuk asas model sebelumnya.

  • Enjin kekal 249.7cc, DOHC, 8-valve, parallel-twin, tetapi dengan beberapa peningkatan:
  • Nisbah mampatan dinaikkan daripada 12.1:1 kepada 12.5:1 dengan mengurangkan isipadu ruang pembakaran.
  • Diameter liang kemasukan diperbesar daripada 21.4 mm kepada 21.6 mm.

  • Pemasaan dan angkatan injap dikemas kini.
  • Geseran dikurangkan dengan mengemas kini piston dan ketegangan gegelang minyak.
  • Hasilnya, kuasa maksimum meningkat 1 kW (1.34 hp), menjadikan jumlah kuasa 31 kW (41.6 hp) pada 13,000 RPM dan tork 25 Nm pada 11,000 RPM.

  • Klac dengan ciri Assist & Slipper dikekalkan, tetapi kini dilengkapi dengan quickshifter.
  • Suspensi depan dinaik taraf kepada fork Showa SFF-BP 37mm jenis terbalik.

  • Sistem pendikit ride-by-wire menawarkan tiga mod pemanduan: SPORT+, SPORT, dan COMFORT.
  • Rekabentuk badan diperbaharui untuk mengurangkan rintangan angin sebanyak 6%.
  • Berat kering: 169 kg.

Perbandingan dengan Pesaing

Enjin CBR250RR baru ini adalah paling berkuasa dalam segmennya, kecuali Ninja ZX-25R (yang menggunakan enjin 4-silinder). Namun, Ninja mencapai tork puncak pada 14,500 RPM, manakala Honda hanya pada 11,000 RPM—membuatkan enjin Honda ini lebih sesuai untuk tunggangan harian.

Pengalaman Menunggang CBR250RR 2025

Sebagai peminat sportbike, sensasi menunggang motosikal ringan seperti ini memang mengujakan: depan rendah, belakang tinggi, dan posisi sporty yang memaksa badan membongkok. Pastikan sokongan berat badan datang daripada otot teras (perut dan belakang), bukan lengan dan bahu.

Enjinnya menyala dengan bunyi yang lebih garau kali ini. Bunyinya lebih… ‘Eropah’, kalau nak cari perkataan yang sesuai, berbanding enjin Jepun yang biasanya lebih senyap. Pulas sedikit pendikit dan RPM melonjak serta-merta, hampir sepantas enjin dua lejang. Menarik.

Seperti yang disebutkan tadi, kini terdapat tiga mod kuasa, tetapi motosikal ini akan sentiasa bermula dalam mod SPORT tidak kira sama ada anda menetapkannya ke COMFORT atau SPORT+ sebelum mematikan enjin.

Oleh kerana kami baharu sahaja memulangkan CB650R, kami ingatkan kami perlukan lebih kuasa jadi kami beralih ke mod SPORT+ tanpa berfikir panjang. Kami pun memulas pendikit dengan agak banyak – maksud kami, SANGAT banyak. Enjin terus mengaum dan motosikal serta penunggang memecut laju di jalan depan Pusat Servis Boon Siew Honda di Kepong. WOI! Tenang sikit! Dan yang menarik: Ia langsung tak mencapai had RPM (rev limiter) walaupun dalam gear pertama!

Nasib baik brek Nissin cukup mantap (walaupun cakera depan tunggal) dan berjaya mengawal kelajuan dengan baik.

Jadi, saya tukar kembali mod kuasa ke SPORT. Bunyi enjin jadi lebih tenang dan respons throttle terasa lebih halus dan terkawal.

Beberapa kilometer kemudian…

“Baiklah, tiba masanya untuk ‘GP lampu isyarat’. Bukan kami yang mulakan, tapi budak di sebelah kami yang menunggang er… motor dengan panggilan “Suku” dengan ‘ekzos buluh’ sengaja rem-rem enjinnya – BROOOAR BROOOOAR! Bunyinya jelas enjin telah di-‘modi,’ dengan bunyi piston yang kasar.

Baiklah, kita pilih mod SPORT+, masuk gear pertama, tunggu lampu hijau… RPM naik sikit… Lepas tu, bagi pendikit penuh sambil clutch dilepaskan. RPM enjin CBR250RR terus melonjak sambil kami meluru dari garisan hampir sepantas CB650R dan CBR650R yang kami uji sebelum ini. Percaya atau tidak, pecutan CBR250RR ni memang kuat – sampai kami terfikir kalau Honda ni terselitkan enjin 400cc! Tukar ke gear kedua guna quickshifter… Lembuuut, terus gear ketiga, keempat, kelima, keenam. Tengok cermin sisi… Kosong! Bye-bye!

Di dalam kesesakan trafik…

Motosikal ini tidak menunjukkan sikap berat ke depan walaupun dengan posisi menunggang yang membongkok, berbeza dengan sportbike berat lain ketika menunggang pada pada kelajuan rendah. Sebaliknya, ia bergerak lincah dengan hanya sedikit tekanan countersteering. Ingat apa kami katakan tentang keseronokan menunggang sportbike ringan? Inilah salah satunya.

Tork enjinnya begitu baik sehingga kami boleh kekal dalam gear ketiga dan keempat semasa mencilok di Jalan Tuanku Halim. Torknya mencukupi untuk membolehkan kami bermain dengan pendikit tanpa perlu sentuh clutch, tanpa risau enjin akan mati. Cuma perlu buka pendikit sahaja jika nak memecut dengan pantas.

Dalam hujan…

Untuk situasi inilah kegunaan mod COMFORT. Hujan lebat tiba-tiba datang mencurah-curah, dan memandangkan mod SPORT+ terlalu agresif, kami bertukar ke COMFORT. Respons pendikit jadi jauh lebih lembut, dengan sedikit jeda sebelum kuasa penuh muncul berbanding dua mod lain.

Sebagai motosikal ringan, kami tidak terlalu risau ketika mengambil selekoh di jalan basah kerana tekanan pada tayar tidak terlalu tinggi. Tambahan pula dengan pendikit yang lebih lancar dalam mod ini, kami boleh membuka throttle lebih awal ketika keluar selekoh berbanding kebiasaan – sesuatu yang kami mungkin tidak berani lakukan di atas motosikal lain dalam keadaan ini.

Bermain selekoh…

Malangnya hujan tak berhenti-henti sepanjang beberapa hari kami menguji motosikal ini, jadi tidak ada peluang untuk mengujinya di Genting Highlands. Namun, masih banyak selekoh menarik di sekitar bandar – khususnya di Lebuhraya SUKE dan Lebuhraya DUKE dari arah Hospital Kuala Lumpur menuju Gombak.

Berbanding motosikal besar yang memerlukan lebih daya countersteering yang lebih kuat untuk membelok, CBR250RR ini mampu memasuki selekoh pada kelajuan yang cukup untuk membuatkan degupan jantung pun boleh terhenti! Keringanannya membolehkan anda mengekalkan kelajuan tinggi ketika masuk dan di tengah selekoh hanya dengan membiarkan motosikal meluncur masuk, tanpa perlu menurunkan gear untuk gunakan brek enjin. Apa yang perlu dibuat hanyalahtetapkan garisan, kendali – dan motosikal akan meluncur dengan sendirinya. Anda pun tak perlu mencondongkan badan secara melampau untuk mencapainya.

Satu lagi kelebihan motosikal ini ialah pelana yang rendah. Walaupun kelihatan agak tinggi dalam gambar, kami boleh menjejakkan kedua-dua belah kaki dengan selesa ketika berhenti. Pelana yang rendah ini memberikan pusat graviti yang lebih rendah, menjadikannya lebih sesuai untuk teknik masuk selekoh dengan lebih laju – pendekatan ‘turn and burn‘ – berbanding teknik ‘brake-turn-burn‘ yang biasa.

Sistem suspensinya juga menunjukkan peningkatan ketara daripada segi penyerapan hentakan dengan baik, tetapi yang paling mengagumkan adalah prestasi fork depan. Motosikal ini tetap stabil mengikut garisan pilihan kami walauapapun keadaan permukaan jalan.

Oh hampir terlupa, lengan ayunnya diperbuat daripada aluminium, bukan keluli seperti semua sportbike 250cc (kecuali KTM RC250).

Tayar standard cukup memuaskan, tapi kami terbayang betapa mantapnya motosikal ini jika dipasang dengan tayar yang lagi melekat.

Konklusi

Honda CBR250RR (2025) sememangnya amat bagus: Enjin yang sangat bertenaga, quickshifter yang lancar, mod kuasa berbeza, suspensi mantap, kawalan lincah, dan… eh, dah sebut pasal enjin kah tadi? Oh ya, benntuknya masih kekal sporty walaupun sudah bertahun di pasaran!

Satu-satunya keluhan kami ialah kawasan klac ‘menangkap’ yang berada terlalu di hujung pergerakan tuas. Namun, ini boleh disesuaikan dengan mudah dan tidak menjejaskan pengalaman menunggang secara keseluruhan.

Honda CBR250RR (2025) dijual pada harga RM27,999 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Berbaloi untuk spesifikasi yang ditawarkan.

Galeri foto

Wahid's lust for motorcycles was spurred on by his late-Dad's love for his Lambretta on which he courted, married his mother, and took baby Wahid riding on it. He has since worked in the motorcycle and automotive industry for many years, before taking up riding courses and testing many, many motorcycles since becoming a motojournalist. Wahid likes to see things differently. What can you say about a guy who sees a road safety message in AC/DC's "Highway to Hell."

Artikel Berkaitan