Bikesrepublic

Pantas Dan Tidak Gentar: Kami Menemubual Bee, Salah Seorang Pelumba Superbike Wanita Paling Berjaya Di Malaysia

Perlumbaan adalah satu tugas yang serius. Ia memerlukan persiapan dan dedikasi yang bertahun lamanya hanya untuk berada di atas grid, tetapi untuk menjadi juara, seseorang itu perlu memberikan fokus yang sepenuhnya. Jadi tidak hairanlah jika kita bertanggapan yang seorang juara itu akan melakukan persediaan bertahun-tahun lamanya hanya untuk menaiki anak tangga teratas podium, seperti mana yang telah dilakukan oleh Marc Marquez sejak dia berusia tiga tahun.

Tetapi, kadang kala, akan muncul seseorang yang tampak seperti tidak perlu berusaha dengan amat keras untuk menang, seperti seorang budak yang kita kenali pada zaman persekolahan, yang sering ponteng kelas, tidur dalam kelas, tetapi masih lagi mendapat keputusan yang cemerlang. Seseorang yang luar biasa yang memenangi perlumbaan dengan mudah sekali.

Kredit kepada jurugambar

Dan dengan itu, benarkan saya untuk bercerita mengenai seorang pelumba handalan yang kecil molek, yang tampak seperti seseorang yang lebih obses dengan kuku, rambut, dan kecantikan kulitnya untuk berada di litar lumba yang kotor berminyak. Saya ingin bercerita mengenai Bee, yang tidak dapat dinafikan lagi merupakan salah seorang pelumba motosikal wanita paling berjaya di Malaysia. Dengan gelaran sedemikian, sudah pasti dia telah memenangi pelbagai jenis trofi, dan Bee, ada tidak kurang banyaknya.

Bee berjaya memenangi 10 perlumbaan pada tahun 2018, berada di atas podium sebanyak 12 kali, dan juga berjaya mendapat dua tempat lima teratas. Dia bertanding dalam MSF Super 1000 kategori wanita, kejohanan Ducati Desmo Cup, Kejohanan Sportsrider SBK Series, dan menduduki tempat pertama dalam MSF Superbikes Time Attack. Ianya satu pencapaian yang cukup mengagumkan memandangkan Bee hanya mula menunggang motosikal superbike pada tahun 2017.

Bee, yang mengemudi motosikal Ducati 959 Panigale, adalah anak perempuan salah seorang pengedar motosikal paling dikenali dalam negara, Ngo Yoke Kwang, atau lebih mesra dikenali sebagai Ah Kwang, pemilik Welly Sungai Buloh, sebuah syarikat yang mengendalikan wakil pengedar Ducati, KTM, Moto Guzzi, Aprilia, dan Yamaha. Dia bekerja dengan bapanya sebagai Pentadbir Selepas Jualan dan bertanggungjawab di atas pusat perkhidmatan mereka.

Kredit kepada jurugambar

Jadi, apa yang mendorongnya untuk menggantikan kasut tumit tingginya dengan sut kulit perlumbaan? “Pelanggan saya sering mengajak saya menyertai penunggangan, dan selepas suatu ketika saya terasa geram sebab saya tidak dapat menunggang. Jadi, saya mendapatkan lesen menunggang saya dan mula mendapatkan bimbingan peribadi di Kompleks Sukan Permotoran Antarabangsa Melaka (Malacca International Motorsport Complex – MIMC),” ujar Bee.

Kredit kepada jurugambar

Walaupun ianya kedengaran seperti segalanya datang mudah bagi Bee, hakikatnya jauh berbeza. Ibu bapanya tidak begitu menggalakkan minatnya yang baharu itu. “Saya perlu benar-benar meyakinkan mereka bahawa saya seorang penunggang yang selamat, saya perlu menunjukkan bahawa saya sentiasa menggunakan kelengkapan menunggang yang lengkap sewaktu menunggang. Dan saya tidak menunggang di atas jalan raya, saya rasa ianya terlalu merbahaya dan lebih suka menunggang di atas litar di mana akan ada orang yang akan membantu anda sekiranya anda jatuh,” kata Bee.

Bee bersama ayah dan adik-beradiknya

Bee mengatakan bahawa ibu bapanya amat tidak menggalakkan minatnya itu, sehinggakan dia tidak percaya apabila ayahnya muncul di Litar Sepang sewaktu pusingan akhir kejohanan Ducati Desmo Cup 2018. “Dia tidak pernah menghadiri mana-mana perlumbaan saya, jadi apabila dia muncul di situ dengan makanan dalam tangannya, saya terkejut. Di grid permulaan, anda boleh nampak yang dia gementar, tetapi dia ada memberikan tepukan pada belakang badan untuk galakan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ayah saya yang menjadikannya kenyataan, dia mungkin tidak menggalakkannya tetapi dia tetap menaja saya bagi setiap perlumbaan. Dia juga telah memberikan banyak nasihat berkenaan seni perlumbaan seperti bila untuk memintas, membrek, dan membantu saya membuat persediaan dari segi mental dan fizikal sebelum setiap perlumbaan.”

Dalam perbualan kami, saya bertanya padanya apakah perkara yang paling sukar sebagai pelumba wanita, jawapannya telah membuatkan saya tergamam. “Sudah semestinya haid!”

“Tahukah anda betapa sukarnya untuk menumpukan perhatian pada perlumbaan apabila anda ada kekejangan akibat haid? Ianya amat sukar, tetapi menjadikan kemenangannya jauh lebih manis.”

“Saya juga ada tangan yang amat kecil jadi ianya membuatkan aksi menggenggam klac dan brek lebih memenatkan sewaktu perlumbaan. Saya cuba melaraskan tuilnya namun ia tidak banyak membantu.”

Apakah nasihat yang dikongsikn oleh pelumba yang amat berbakat ini buat mereka yang ingin menunggang motosikal? Dia berkata, “Saya belum berlumba dengan cukup lama bagi memberikan nasihat tetapi buat gadis-gadis yang ingin mula menunggang dan berlumba motosikal, nasihat saya, ikutlah naluri anda dan cubanya, cuma pastikan anda dapatkan bimbingan yang betul, dapatkan tunjuk ajar yang betul dan keluarlah dan berseronoklah.”

Kredit kepada jurugambar

Tampaknya, dia telah mengecapi semua yang boleh dicapai oleh pelumba wanita di Malaysia selain daripada perlumbaan ‘dirt biking’, jadi, apa seterusnya untuk Bee? “Saya tidak pasti lagi perlumbaan mana yang saya mahu sertai buat masa ini, tetapi saya ingin menunggang di litar luar negara seperti Philip Island atau Zhuhai, atau pun Buriram bagi menimba lebih banyak pengalaman.”

Kredit kepada jurugambar

Wanita ini jelas sekali lebih berbakat berbanding kebanyakan lelaki tetapi ianya mungkin sekali kerana dia tidak gentar dalam apa yang dia lakukan dan pada masa yang sama tidak lupa untuk bersuka ria. Muat naik media sosialnya menunjukkan pendekatannya pada kehidupan, dia tidak terlalu mengambil serius mengenainya tetapi pada masa yang sama memberikan sepenuh usahanya. Dan keputusan yang telah diperolehinya di atas litar menjadi buktinya.

Kredit kepada jurugambar

Rakan sekerja saya merumuskan dengan sempurna sekali sewaktu saya memberitahunya bahawa saya baharu sahaja kembali dari menemuramah Bee, “Dia pantas dan tidak mengenal erti gentar!”

MotoMalaya dan Bikesrepublic.com mengucapkan selamat maju jaya bagi musim perlumbaan Malaysia yang akan datang.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube