Pasaran motosikal Thailand yang telah berkembang pesat sejak tiga tahun lalu, mula mengalami penurunan pada separuh pertama 2024.
Tokoh-tokoh industri itu telah melaporkan bahawa mereka menjual 904,135 motosikal dalam enam bulan pertama tahun ini. Walaupun itu adalah jumlah yang besar berbanding dengan kita di Malaysia, ia sebenarnya merupakan pengurangan -9.9% berbanding separuh tahun pertama 2023. Thailand ialah pasaran motosikal keenam terbesar di dunia.
Ekonomi negara itu kini dilihat sebagai yang paling lemah di rantau ini disebebakan oleh apa yang disebut oleh Bangkok Post sebagai “penggunaan berlebihan.” Permintaan untuk penggunaan lebih tinggi berbanding dengan bekalan tunai hasil pendapatan, dan ini membawa kepada kewangan domestik yang tidak mencukupi.
Presiden Honda Thailand, Yuichi Shimizu berkata, “Hutang isi rumah yang tinggi mencecah 91% daripada KDNK dan kuasa beli pengguna yang lemah menyebabkan orang ramai lebih berhati-hati dalam berbelanja. Mereka bimbang dengan keadaan ekonomi semasa.”
Harapan awal untuk peningkatan ekonomi semula pada 2024 tidak menjadi. Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) telah mengurangkan unjuran pertumbuhan 2024 untuk ekonomi Thailand kepada 2.2%–2.7%, turun daripada 2.8%–3.3% yang diramalkan pada November 2023. Tinjauan untuk 2024 adalah lebih lemah daripada sebelumnya diunjurkan disebabkan oleh prospek eksport dan pelaburan awam yang lebih malap.
Oleh itu, peneraju pasaran, Honda menyaksikan penurunan -7.5%, manakala pesaing utama mereka, Yamaha kehilangan -12%. Piaggio, di tempat ketiga menyaksikan kejatuhan besar -34%, dan di keempat, GPX menyaksikan pengurangan mendadak sebanyak -62.2%.
Walaubagaimanapun, motosikal elektrik menyaksikan pertumbuhan yang mampan. Honda dan pengeluar dari China berada pada kedudukan yang baik untuk mengeksploitasi sektor ini. Setelah menjual 13,600 unit motosikal elektrik setakat ini, Honda menjangkakan akan menjual sejumlah 30,000 unit pada 2024, meningkat daripada 21,000 pada 2023. Malah, syarikat itu merancang untuk mempunyai sekurang-kurangnya 44 stesen pertukaran bateri dan akan meningkatkan bahagian mereka dalam sektor penyewaan motosikal.