Bikesrepublic

Pasukan Malaysia Tapi Tiada Pelumba Tempatan – Razlan Razali

Prinsipal pasukan PETRONAS Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, memahami kecaman yang dilontarkan terhadapnya susulan pasukan itu menyingkirkan Khairul Idham Pawi musim depan.

*Khairul Idham Pawi

Karier KIP bersama PETRONAS Sprinta Moto3 berakhir hujung musim ini selepas pasukan itu tidak bercadang menawarkan kontrak sambungan.

Bagaimanapun, Razlan bingkas dihujani kecaman tatkala rata-rata mempersoal objektif PETRONAS SRT yang sepatutnya mengutamakan pembangunan pelumba tempatan.

*Khairul Idham Pawi bersama John McPhee

Apatah lagi apabila seorang lagi pelumba tempatan, Hafizh Syahrin yang beraksi di Moto2 turut sama akan meninggalkan kelas itu susulan digantikan pelumba Moto3, Albert Arenas, musim depan.

Menurut Razlan, dia memahami kritikan yang dilontarkan terhadapnya.

*Prinspial PETRONAS SRT, Datuk Razlan Razali

“Saya faham kekecewaan dan kecaman daripada orang ramai. Pasukan Malaysia tapi tiada pelumba tempatan.

“Saya terima kritikan itu dan saya membaca semua maklum balas daripada mereka. Tapi kita perlukan pelumba yang boleh memberikan saingan kompetitif.

“Saya harap peminat bersabar,” jelasnya kepada Harian Metro.

Sementara itu, PETRONAS memiliki tiga pelumba tempatan yang sedang beraksi di CEV, Adam Norrodin, Syarifuddin Azman dan Muhammad Shahrul Ezwan Shahril.

Namun, Razlan menegaskan pihaknya enggan tergesa-gesa dalam menawarkan kontrak MotoGP.

*Khairul Idham Pawi

“Untuk membentuk seorang pelumba memerlukan masa. Mereka akan beraksi di Kejohanan Dunia bila sampai masanya. Saya tidak mahu membawa mereka kerana terdesak, saya mahu mereka benar-benar bersedia untuk memberikan cabaran bersaing di peringkat lebih besar,” tambahnya.

Pada masa sama, Razlan menjelaskan PETRONAS SRT telah memberikan peluang kepada KIP untuk pamer peningkatan sebelum ini.

“Sebagai pasukan profesional, kita ada sasaran. Sasaran yang diletakkan kepada KIP bukan tinggi.

“Kami faham situasinya. Kami bertolak ansur dengan sasaran daripada kelompok 15 terbaik ke kelompok 20 terbaik sehinggalah kami memberitahunya jangan sehingga tercorot.

“Ketika pelumba lain pamer peningkatan, pelumba tempatan kita tidak. Maka kami sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi,” kata Razlan.

Bagaimanapun, Razlan tetap memberikan talian hayat kepada pelumba berusia 22 tahun itu untuk kembali beraksi di Kejuaraan Eropah FIM CEV namun dengan syarat KIP perlu pamer peningkatan dalam baki empat aksi di Moto3 musim ini. – HM

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan