Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan penganjur dan peserta acara RXZ Members 6.0 yang akan bermula di Terengganu hari ini supaya mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa, sebagaimana dipersetujui antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya juga tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bagi menjamin kelancaran penganjuran program yang memasuki kali keenam itu.
“Kali ini, JPJ Terengganu bersama Polis Terengganu serta pihak berkuasa lain yang berkaitan mengambil langkah awal dengan mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur dan memberikan garis panduan yang jelas berhubung penganjuran program.
“Kita telah memberikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi, dan JPJ akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memantau perhimpunan itu agar berlangsung sebagaimana diarahkan,” katanya.
Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah memastikan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu dan cukai jalan, motosikal tidak diubah suai secara fizikal yang menyalahi undang-undang serta plat motosikal mematuhi spesifikasi ditetapkan selain ekzos motosikal tidak diubah suai.
“JPJ bukan sengaja ingin mencari kesalahan, malah kami juga mahu program berjalan lancar namun dalam masa yang sama, kita juga perlu pastikan semua penggguna jalan raya yang lain selamat bukan sahaja mereka yang menyertai himpunan tersebut,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata pihaknya telah memberi garis panduan yang jelas kepada penganjur menerusi empat siri mesyuarat penyelarasan bersama jabatan lain termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), JPJ Terengganu dan Lembaga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan penganjur perlu mematuhinya jika mahu program itu diteruskan pada tahun hadapan.
Program RXZ Members 6.0 yang akan diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus hari ini sehingga Sabtu dijangka menarik penyertaan 80,000 peserta dari seluruh negara.