Mengambil maklum tentang aktiviti menungang motosikal berkuasa tinggi di jalan raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi khas seluruh negara mensasarkan kumpulan tersebut.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar.
“Sebagai langkah pencegahan, JSPT akan mengadakan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara yang mana tumpuan akan diberikan kepada penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Umum mengetahui motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya iaitu lebih 55 peratus berbanding kenderaan lain,” jelasnya.
Oleh demikian, JSPT akan memberi fokus pada motosikal berkuasa tinggi dalam Op Khas kali ini.
Dalam pada itu, Mohd Nasri juga menasihatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk mematuhi undang-undang dan berhemah di jalan raya. – Sinar Harian