Umum sedia maklum bahawa BMW Motorrad bakal memperkenalkan BMW R 1300 GS serba baharu bagi menggantikan R 1250 GS sedia ada. Pelancaran R 1300 GS itu telah pun dijadualkan berlangsung pada 28 September ini.
Dalam pada itu, perkembangan terbaru di Eropah mengesahkan pelancaran R 1300 GS pada September nanti bakal menjadi permulaan pertama kepada beberapa barisan model yang akan dikuaskaan enjin boxer 1300cc tersebut.
Memetik laporan media antarabangsa, BMW akan turut memperkenalkan R 1300 R, R 1300 RS dan R 1300 RT. Mengambil kira kesemuanya dikuasakan enjin baharu, maka tidak hairan setiap model 1300cc itu akan turut didatangkan dengan kerangka baharu.
Selain itu, media antarabangsa juga mendakwa R 1300 R dan RS akan tampil lebih sporty berbanding model sedia ada dengan panel badan yang lebih terdedah serta reka bentuk yang lebih agresif dan minimal.
Dalam pada itu, BMW juga dijangka memperkenalkan teknologi sistem radar kepada kesemua model 1300 sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan blind spot detection.
Ketika tiada info rasmi didedahkan BMW Motorrad membabitkan kesemua model baharu yang diperkatakan namun berdasarkan dokumen yang difailkan di Eropah sebelum ini, BMW R 1300 GS yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu menawarkan 145.5hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm.
Apa pun, kami jangkakan lebih banyak info menarik akan diterbitkan sebaik BMW melancarkan R 1300 GS pada 28 September ini.