Pelancong Malaysia dinasihat agar tidak mengunjungki perkampungan nelayan di daerah Narathiwat, Thailand. Kenyataan itu dikeluarkan oleh ketua polis daerah berkenaan.
Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Pratya Baite berkata pengedar dadah di wilayah itu biasanya akan memilih perkampungan nelayan untuk membina sarang mereka.
“Kami mendapat maklumat bahawa pengedar dadah di wilayah ini akan menggunakan kampung-kampung ini sebagai tempat mengumpul dan menjual dadah kepada pengedar tempatan.
“Oleh itu, polis Narathiwat akan melakukan operasi berkala di kampung-kampung ini untuk menangkap mereka yang terlibat. Operasi akan dijalankan sepanjang masa dan setakat ini, ia berjaya,” katanya kepada NST.
Justeru, beliau menasihatkan pelancong Malaysia supaya tidak sesekali mengunjungi perkampungan nelayan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, Pratya berkata, pil yaba dan heroin masih menjadi dadah paling popular yang dicari oleh pengedar Malaysia di Thailand, berdasarkan maklumat pembekal dadah Thailand yang ditahan oleh pihak berkuasa.
“Sejak dua tahun lalu, polis daerah tidak menahan mana-mana pengedar dadah warga Malaysia, bagaimanapun, kami menahan ramai pengedar warga Thailand yang mengatakan kedua-dua jenis dadah ini popular dalam kalangan pengedar warga Malaysia.
“Pusher Malaysia biasanya akan membeli dadah daripada pengedar Thailand yang berhampiran sempadan, seperti dari daerah kecil Sungai Golok,” katanya.