Pemandu sebuah kereta yang merempuh seorang lelaki warga emas yang berteduh di bawah sebuah jejambat telah ditahan. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, berkata video kejadian membabitkan penunggang motosikal berusia 76 tahun itu tular di media sosial.
Lelaki warga emas yang berteduh di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berlindung daripada hujan, parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang pemandu berusia 40 tahun, dalam kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, selepas Tol Sungai Besi, di sini, semalam.
“Siasatan awal mendapati sebuah motosikal berkenaan berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berteduh sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” sambung Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.