Bikesrepublic

Penduduk Miskin Tegar Terima 40 Motosikal Percuma

Sebanyak 40 motosikal percuma disumbangkan kepada penduduk miskin tegar di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, dengan turut disaksikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), dan Ahmad Shah Muhamed (Bandar).

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membeli 40 motosikal terbabit.

“Kita berharap semua penerima akan memanfaatkan sepenuhnya motosikal yang diberi secara percuma ini untuk mencari rezeki bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Seorang penerima motosikal terbabit, Norseaslinda Kasim, 44, dari Kampung Hiliran Jejawi, bersyukur sehingga menitiskan air mata gembira atas sumbangan itu.

Norseaslinda yang menjual pisang goreng dan keropok di Pulau Kambing berkata, anaknya meminjam motosikal rakan untuk membawa beliau ke majlis itu yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah, Wakaf Mempelam.

“Perasaan saya berdebar-debar ketika nama dipanggil untuk naik ke pentas menerima geran, dan motosikal boleh dibawa pulang tanpa sebarang bayaran kerana semuanya termasuk insurans, sudah diuruskan,” katanya.

Beliau berkata, motosikal itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin, termasuk untuk kegunaan ke pasar membeli barangan niaga.

“Sebelum ini, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sewa untuk berulang-alik ke pasar setiap pagi bagi mendapatkan pisang dan keropok mentah,” katanya.

Seorang lagi penerima, Romzi Mokhtar, 52, dari Lorong Kemunting, Pasir Panjang, berkata beliau akan menunggang motosikal itu ke pasar untuk mengambil bekalan ditempah beberapa pengusaha premis makan.

“Saya hanya bekerja mengambil upah menghantar sayur, ikan, ayam dan keperluan lain yang ditempah beberapa pengusaha restoran serta kedai makan,” katanya yang memperoleh pendapatan RM50 sehari.

Selain itu, beliau berkata, kemudahan berkenaan juga akan digunakan untuk menghantar serta mengambil lima anaknya yang masih belajar di sekolah rendah dan menengah. – BERITA HARIAN

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube