PETRONAS menyeru orang ramai lebih berwaspada terhadap penipuan pelaburan palsu yang menggunakan nama syarikat itu dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO).
PETRONAS berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penipuan pelaburan dalam talian itu yang aktif di kalangan pengguna aplikasi WhatsApp.
Menurut mereka, penipuan itu membabitkan penggunaan nama dan logo syarikat PETRONAS, serta nama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, yang tidak sah.
“Mesej terbabit merangkumi laporan berita palsu daripada The Star dengan tajuk yang digunakan ‘Laporan Khas: ‘PETRONAS membuka platform pelaburan bersama dengan sokongan kerajaan!’.
“Ia menawarkan skim yang menjanjikan pulangan melalui pelaburan mingguan dalam operasi kerajaan berkaitan dengan pengeluaran gas asli dan cecair (LNG),” kata Petronas dalam kenyataan itu.
Laporan itu juga disertakan bersama video palsu Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, dengan imej dan suaranya dimanipulasi menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI).
Pengurusan PETRONAS menjelaskan dan menekankan bahawa tidak ada platform pelaburan sebegini daripada mereka.
“Kami ingin menyeru kepada semua orang untuk tidak memberi respons kepada skim pelaburan palsu ini,” tambah mereka.