Produksi superbike Yamaha YZF-R1 dan Yamaha YZF-R1 M bakal dihentikan.
Berita ini disahkan di dalam laman web rasmi Yamaha UK yang menyebut:
“Yamaha Motor Group telah mengambil keputusan untuk tidak membangunkan versi R1 atau R1M yang menepati piawaian emisi Euro5+. Sebaliknya (kami) akan menumpukan perhatian terhadap strategi perniagaan dan produk jangka sederhana yang akan memberikan peluang masa depan.”
Ia bermaksud Yamaha mengikut jejak langkah Suzuki yang turut memberhentikan produksi superbike GSX-R1000R. Walaupun begitu, berita ini tidaklah sebegitu mengejutkan kerana semakin ramai pembuat motosikal yang beralih kepada pembuatan model-model yang lebih mudah ditunggang dan lebih mampu milik. Yamaha sendiri telah mengorak langkah terhadap strategi ini dengan penghasilan model YZF-R7 yang berasaskan MT-07. Mereka juga akan melancarkan model YZF-R9 yang berasaskan MT-09 tidak lama lagi.
Terdapat beberapa lagi faktor kenapa R1 dan R1M akan dihentikan:
- Pembangunan enjin dan model baharu yang menepati piawaian Eruo5+ yang amat ketat akan menelan belanja yang amat tinggi, tetapi untuk pulangan yang tidak berapa lumayan.
- Model R1 telah mengambil tempat sebagai sebuah motosikal sport yang disegani sejak pelancarannya pada 1998. Ia merupakan superbike Yamaha yang akhirnya menghentikan dominasi Honda CBR900. Apapun, Yamaha masih tidak dapat menjual sebanyak R1 yang diharapkan jika dibandingkan dengan Kawasaki Ninja ZX-10R/ZX-10RR, BMW S 1000 RR, dan Ducati Panigale.
- Kebanyakkan penunggang telah beralih kepada motosikal yang lebih mudah ditunggang dan boleh digunakan untuk berbagai kegunaan seperti jenis sport-touring, dwi-sport, serta adventure. Motosikal-motosikal ini dapat ke mana sahaja, memberikan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng, boleh membawa barang, serta boleh dipasang dengan berbagai aksesori berbanding dengan sebuah superbike.
- Tahap prestasi superbike kini dan yang akan datang telah menjangkaui kemahiran kebanyakan penunggang motosikal.
- Kondisi jalan yang tidak bertambah baik di seluruh dunia. Sebaliknya menunggang superbike di atas jalan raya awam seperti ianya sebuah litar hanya akan mengundang bahaya dan tragedi.
- Dan harga superbike yang amat tinggi.
Namun, manalah tahu jika Yamaha YZF-R1 dan Yamaha YZF-R1 M yang lulus Euro 6 akan kembali penghujung dekad ini.