Triumph Motorcycles bakal mengumumkan beberapa motosikal bersesaran kecil dan sederhana dengan kerjasama pengeluar motosikal India, Bajaj Auto.
Triumph dan Bajaj telah pun menandatangani perjanjian pada Januari 2020 untuk membangunkan beberapa model ‘baby’ Triumph yang bersesaran di antara 200cc hingga 750cc.
Bagaimanapun, faktor pandemik Covid-19 memaksa pembangunan model baharu ditangguh ke tarikh baharu.
Namun, dalam perkembangan terbaru, Ketua Pengurusan Penjenamaan Triumph Motorcycles, Miles Perkins mendedahkan bahawa kerjasama itu akan berjalan seperti yang dirancangkan sebelum ini.
“Saya telah pun melihat sendiri jentera prototaip dan pembangunan jentera jadi segalanya masih mengikut jadual.
“Kami cuma masih belum mengesahkan model mana yang akan dibangunkan dan tarikh pelancaran, tetapi pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.
Lebih menarik, model kerjasama Triumph dan Bajaj ini bukan sahaja akan dijual di pasaran tertentu sebaliknya di seluruh dunia sekaligus menyaksikan Malaysia berpeluang cerah untuk menerima model baharu itu nanti.
Bagaimanapun, ketika ini Triumph juga giat memperkenalkan model 2022 bermula dengan Tiger Sport 660 dan akan datang Tiger 1200.