Kami menghadiri sesi ujian media bagi model ternanti-nanti Proton X50 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Acara tersebut memfokuskan pada tiga aspek utama; prestasi, pemanduan dan ciri keselamatan.
Antara ciri pertama yang didedahkan adalah Proton X50 ini akan didatangkan dengan dua varian enjin, 1.5L turbo dan 1.5L TGDi (turbo gasoline direct injection).
Kedua-dua varian enjin ini didatangkan dengan pakej transmisi klac berkembar 7-kelajuan (DCT).
Enjin 1.5L T ditawarkan bagi varian Standard, Premium dan Executive dan menghasilkan 150hp pada 4,000rpm dan 226Nm pada 1,500rpm.
Sementara enjin 1.5L TGDi – yang hanya terdapat pada model ‘flagship – menghasilkan 177hp dan 250Nm.
Hasilnya, model Proton X50 ini mampu merekodkan 0-100km/j dibawah 7.9 saat dan dibuktikan menerusi perlumbaan drag apabila X50 berjaya mengatasi dua model lain, Honda HRV dan BMW X1.
Aspek pemanduan turut dilaksanakan menerusi ujian slalom dan ternyata pengalaman memandu cukup cekap dan selesa hasil bantuan Electronic Stability Control, Traction Control System dan Drag Torque Control.
Bukan itu sahaja, Proton turut mengumumkan X50 ini merupakan kereta pertama dalam segmennya yang menawarkan Pemanduan Autonomi Level 2, teknologi yang sering terdapat pada jenama premium Eropah.
Antara aspek Pemanduan Autonomi Level 2 itu melibatkan:
- Intelligent Cruise Control (ICC)
- Auto Park Assist (APA)
- Autonomous Emergency Braking
- Forward Collision Warning
- Lane Keep Assist
RUMUSAN
Secara keseluruhan kami mendapati Proton X50 ini melebihi jangkaan dari pelbagai segi apatah lagi berjaya menewaskan Jenama H ketika perlumbaan drag!
Walaupun harga masih belum diumumkan tetapi kami yakin Proton X50 mampu menjadi ‘pisang goreng panas’ seandainya Proton bijak menyusun harga sepertimana yang berlaku pada Proton X70 yang sehingga kini masih lagi mendominasi penjualan segmennya.