Kuala Lumpur Bike Show 2023 bakal membuka tirai julung kalinya pada 24 Ogos ini bertempat di World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL).
Penganjuran pertama itu menjanjikan pelbagai pameran motosikal dan aktiviti istimewa bagi pengunjung terutamanya peminat dua roda. Antara yang akan terlibat dengan penganjuran tersebut termasuk MForce Bike Holdings yang merupakan pengedar rasmi bagi beberapa jenama antaranya QJMotor, Benelli, SYM, Brixton, WMoto, Keeway dan Moto Morini.
Menariknya, KLBS’23 itu juga bakal menyaksikan MForce memperkenalkan jenama baharu untuk pasaran tempatan menerusi MBPMoto (Moto Bologna Passione). Selain itu, MForce juga merancang untuk memperkenalkan sebuah model baharu dari QJMotor untuk pasaran Malaysia.
Tinjaun di media sosial MForce TV mendapati antara yang akan diperkenalkan adalah jentera “4-dapur”, QJMotor SRK600RC. Untuk rekod, SRK600RC merupakan model sama dengan SRK600RR namun didatangkan dengan grafik dan livery yang diinspirasikan daripada pasukan QJMotor Gresini di Moto2.
QJMotor SRK600RC ini dikuasakan enjin 4-silinder 600cc 16-valve dengan sistem penyejukan cecair yang menawarkan 81hp pada 11,000rpm dan 51Nm pada 10,500rpm.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk brek Brembo, sistem ABS dwi-saluran, serta fork USD dan monoshock dari Kayaba (KYB). Sebagai jentera moden, SRK600RC juga dilengkapi panel meter TFT 5-inci, lampu LED penuh dan port USB.
Maklumat rasmi termasuk harga bagi SRK600RC ini akan diumumkan di KLBS’23 yang akan berlangsung dari 24 hingga 27 Ogos ini.